Categories
SELANGOR

Jelas cukai taksiran, elak tindakan undang-undang

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG JAYA, 24 NOV: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyarankan semua penduduk Ampang Jaya menjelaskan cukai taksiran 2017 dan tahun sebelumnya bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.

Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, tunggakan yang belum dijelaskan sejak 2015 perlu dilunaskan segera kerana pengecualian cukai taksiran bagi rumah kos rendah dan kampung hanya mula dilaksanakan pada 2016.

“Pengecualian Cukai Taksiran Rumah Kos Rendah dan Kampung yang diumumkan Kerajaan Negeri hanya untuk tahun 2017, 2016 dan 2018.

“Maka tunggakan pada 2015 dan tahun sebelumnya harus dijelaskan segera,” katanya pada Mesyuarat Penuh Bil 11/2017 MPAJ, pagi tadi.

Menurutnya, pemilik juga perlu bertanggungjawab mengemaskini alamat surat menyurat supaya proses penghantaran bil cukai taksiran atau Notis E diterima di lokasi yang dikehendaki pemilik.

Tegasnya, MPAJ akan mengambil tindakan tuntutan sivil ke atas pemilik atau individu yang masih gagal mengemaskini butiran pemilik dan membuat pembayaran.