Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kejayaan Selangor bukti PAKATAN mampu tadbir negara

OLEH HAFIZAN TAIB

CHEMOR, 18 NOV: Kejayaan Selangor mencapai pembangunan dan ekonomi yang baik menjadi bukti PAKATAN mampu mengambilalih pentadbiran negara di Putrajaya.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dengan pentadbiran penuh berintegriti dan telus di negeri itu juga Pulau Pinang, kejayaan diraih memberi igauan buruk kepada Umno-Barisan Nasional (BN) yang meminta rakyat menolak PAKATAN.

“Kalau kita tidak boleh urus negeri dan ekonomi dengan baik, mana mungkin kita dapat mencatat rekod cemerlang.

“Jabatan Statistik Malaysia baru mengeluarkan kenyataan negeri paling kaya, aman dan makmur ialah Selangor,” katanya dalam Majlis Kenduri Rakyat melalui Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Kampung Ulu Chemor, di sini, semalam.

Beliau berkata, Selangor ketika ini mencatat simpanan rezab kira-kira RM3.5 bilion dan dapat menjayakan program kebajikan rakyat dengan berkesan menerusi agenda Inisitif Peduli Rakyat (IPR).

Katanya, rakyat Perak boleh menikmati kemudahan sama sekiranya boleh melakukan perubahan dalam pilihan raya umum nanti.

“Perak punya potensi cukup besar, orang Perak berani bawa perubahan, bukan tidak pernah berubah. Tahniah saya ucapkan.

“Namun dengan permainan politik kotor, sogokan wang berjuta ringgit, tidak menghormati sistem demokrasi, Perak dijatuhkan oleh perompak dan perasuah,” katanya merujuk rampasan kuasa Umno-BN daripada PAKATAN pada 2009.

=EZY=