Categories
NASIONAL

Kerajaan Persekutuan perlu serius tangani kebanjiran warga asing

OLEH AFIX REDZUAN

PANDAN, 29 NOV: Beberapa warga asing yang ditemui dalam aktiviti pemantauan semula kawasan Pangsapuri Taman Pandan Mewah mendapati masih banyak warga asing tidak berdaftar dan hanya memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Lebih mengejutkan salah seorang warga asing dari etnik Rohingya, Myanmar berkenaan hanya mempamerkan salinan kad UNHCR dengan alasan kad asal disimpan di rumah kerana dikhuatiri akan hilang jika dibawa keluar.

Sanggup mengaku beragama Islam tetapi gagal untuk membaca surah Al-Fatihah ketika disoal Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Hasil tinjauan hampir satu jam di kawasan itu semalam mendapati kebanyakkan mereka bekerja di premis perniagaan di aras bawah pangsapuri dan memberitahu mereka hanya bekerja dan perniagaan dimiliki warga tempatan yang digelar ‘bos’.

Dalam sidang media sejurus lawatan Iskandar menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertindak untuk menyelesaikan masalah ini.

Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu memikirkan langkah mendaftarkan warga asing khususnya pelarian yang hanya memiliki kad UNHCR kerana kebanyakkan mereka yang memasuki Malaysia tidak mempunyai kad pengenalan diri.

“Mereka yang masuk didaftarkan dan disahkan sebagai pelarian. Ada yang mengaku muslim Rohingya tapi tidak boleh membaca Al-Fatihah.

“Difahamkan hampir 1,000 yang berada di sini tiada sebarang kad pengenalan dari Kerajaan Malaysia. Kalau ada antara mereka melakukan jenayah, pastinya tidak dapat dijejak dan boleh melarikan diri.

“Saya harap Kerajaan Malaysia lakukan sesuatu. Mereka didaftarkan dan direkodkan. Mereka tiada pasport. Ada yang guna salinan kad UNHCR. Saya gesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak,” katanya.

Katanya, bidang kuasa terhad yang dimiliki MPAJ mengakibatkan mereka tidak boleh bertindak lanjut.

Sebelum ini, beliau menerima aduan daripada persatuan penduduk berhubung masalah warga asing yang berniaga di tepi jalan selain menjadi punca kawasan sekitar kotor dan mengadakan lawatan pertama pada 6 Oktober lalu.

Pada 15 November lepas, penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Imigresen Malaysia dan polis melakukan operasi bersepadu dan berjaya menahan beberapa warga asing yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri selain menyita barangan perniagaan.

Difahamkan kebanyakkan warga asing yang memiliki kad UNHCR diseludup masuk ke Malaysia dari negara Thailand melalui agen dengan bayaran RM6,000 seorang dan dibawa menaiki van Hiace yang mampu memuatkan 11 orang.

“Dalam keadaan rakyat kian tertekan dengan kos sara hidup selain kesukaran mendapatkan pekerjaan, semakin ramai warga asing yang masuk ke negara kita.

“Kita boleh lihat perkara ini di beberapa kawasan seperti Taman Medan, Pasar Selayang dan Chow Kit,” katanya.

=EZY=