Categories
NASIONAL

Mangsa banjir dipindah di Terengganu meningkat kepada 2,432

KUALA TERENGGANU, 29 NOV: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 2,432 orang daripada 833 keluarga setakat jam 8 pagi ini berbanding 2,201 orang daripada 765 keluarga pada tengah malam tadi.

Mengikut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), sebanyak 15 pusat pemindahan sementara (PPS) baharu kini dibuka di tujuh daerah menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi di seluruh negeri kepada 64.

Daerah Besut terus mencatat kenaikan jumlah mangsa iaitu 842 orang (250 keluarga) di 23 PPS berbanding 637 orang (194 keluarga) malam tadi.

Daerah Hulu Terengganu pula tidak merekodkan banyak perubahan dengan sedikit penurunan jumlah mangsa banjir iaitu 791 orang (364 keluarga) di 18 PPS berbanding 792 orang (365 keluarga) sebelum ini.

Jumlah mangsa banjir di Setiu hanya mengalami sedikit penurunan iaitu 378 orang (104 keluarga) di 10 PPS berbanding 411 orang (105 keluarga) manakala di Dungun, kekal seramai 165 orang (48 keluarga) . Jumlah PPS kekal tidak berubah di empat lokasi daerah Dungun.

Situasi banjir di Marang dan Kuala Nerus pula kekal tidak berubah iaitu 71 orang (22 keluarga) di enam PPS di Marang dan di Kuala Nerus pula, terdapat 126 orang (32 keluarga) di dua PPS.

Di Kuala Terengganu yang merupakan daerah terbaharu dilanda banjir pula merekodkan hanya 59 orang (13 keluarga) berada di satu PPS berbanding 63 orang (14 keluarga) malam tadi.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tiada sungai di Terengganu yang melebihi paras bahaya setakat pukul 8.30 pagi ini.

Bagaimanapun, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan masih merekodkan kenaikan iaitu 2.44 meter (m) melebihi paras amaran 2.30 m manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu merekodkan bacaan 21.39 m melebihi paras amaran pada 20.75 m.

SUMBER: BERNAMA