Categories
SELANGOR

MARRIS: ADN Batang Kali disaran buat ‘homework’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 NOV: Ahli Dewan Negeri Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan disaran membuat kerja rumah dan merujuk surat pekeliling diedarkan, pada Disember 2014 berhubung Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

ADN Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, hal itu kerana wakil rakyat Umno terbabit didakwa tidak membuat kerja rumah secukupnya sebelum melemparkan tuduhan melulu kepada Kerajaan Negeri.

“Adakah dia tidak baca surat bertarikh 17 Disember 2014 atau membuat kajian? Kalau betul tidak baca, bermakna dia perlu semak operasi Pejabat Khidmat Masyarakat kenapa ia tidak sampai kepadanya,” katanya dalam sidang media, di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS).

Katanya, surat ditandatangani Timbalan Pengarah Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan , Johary Anuar itu jelas menerangkan keperluan Kerajaan Negeri memindahkan dana MARRIS ke dalam Tabung Amanah Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri di bawah Seksyen 10 Penubuhan Dan Arahan Kumpulan Wang Amanah, Akta Tatacara Kewangan 1957.

Weng San berkata, Mat Nadzari juga gagal memahami definisi penyelenggaraan jalan negeri seperti dikeluarkan dalam pekeliling itu.

“Definasi digariskan pekeliling itu adalah kerja penyelenggaraan rutin mengikut tempoh ditetapkan membabitkan kerja penyelenggaraan pavemen (tampal jalan), penyelenggaraan bahu jalan, pemotongan rumput atau landskap, penyelenggaraan perabot jalan, penyelenggaraan pembetung dan jambatan serta pembersihan longkang.

“Selain itu kerja menyelenggara cerun, jejambat, terowong, elektrik, bil lampu jalan dan lampu isyarat serta hentian bas juga teksi,” katanya.

Semakan SelangorKini mendapati pekililing itu turut menggariskan enam jenis penyelenggaraan berkala seperti mengganti saliran dan membaiki cerun.

Manakala penyelenggaraan kecemasan meliputi tujuh jenis anrtaranya pokok tumbang dan tanah runtuh, sementara pencegahan membabitkan kerja kajian cerun, ketahanan jalan serta lalu lintas.