Categories
SASTERA

Lelaki bernama Perang

OLEH Abang Median Abang Said

“PERANG telah mati !”

Semua orang melongo mendengar berita tersebut.

“Tapi badannya masih bergerak. Nadinya memang tidak berdenyut lagi.”

Ngangaan mulut menjadi semakin luas – terlihat lelangit dan anak tekak.

“Betulkah?”

“Bagaimana?”

Rasa musykil bergantungan dalam diri. Biarpun mati tetapi masih bergerak – sesuatu yang kontradiksi. Keanehan menyentak dalam dada. Kekeliruan bergeming dalam atma.

Sememangnya begitu. Semua heboh dengan kematian Perang. Dia lelaki bertubuh sederhana tetapi sering menimbulkan kekacauan dan pertelingkahan. Kehebatannya bukan pada kebolehannya bermain senjata tetapi pada susunan kata-kata dan ketajaman daya fikirnya. Pengaruhnya terlalu kuat meresap dalam urat nadi, bersebati dalam darah, mengalir dan akhirnya menjajah minda. Kecerdikan akal penduduk sering diadu domba. Suara dan intonasinya mempunyai daya bujukan yang tinggi. Tidak dapat ditebak; kata-kata itu fakta atau auta. Karisma lebih memanipulasi minda.

Perang dikatakan dibunuh dengan tukul. Bukan sewaktu pergaduhan. Itu yang dikhabarkan dari mulut ke mulut. Tapi tukul itu tidak berdarah. Tiga kali hentakan menyebabkan Perang terkulai. Perang terus tidak bernyawa. Terpisah nafas dari tubuh.

“Jika tukul menjadi senjata pembunuhan, mengapa tukul itu tidak berdarah?”

“Kepalanya juga tidak pecah.”

“Tidak ada kesan lebam pada badannya.”

“Jadi, bagaimana dia dikatakan dibunuh dengan tukul?”

Semakin difikir-fikir, semakin banyak persoalan tidak terjawab. Kemusykilan semakin berganda-ganda. Seperti ada operasi matematik – tambah, darab, kuasa dua, kuadrat matriks – dalam otak.

“Tukul dihentakkan ke tempat lain tetapi itu menyebabkan kematian Perang.”

Yah! Jawapan itu tidak merungkai selirat kemusykilan yang menjerut. Malah menyebabkan situasi kian berserabut. Semua jadi kecoh untuk mengetahui perkara sebenar.

Ramai tidak mempercayai kematian Perang. Perang tidak mudah menyerah. Pantang berundur. Semua itu tiada dalam falsafah Perang. Sewaktu berucap di hadapan penyokongnya, dia mengatakan: “Hidup adalah peperangan. Perjuangan juga peperangan. Orang berperang untuk menuntut hak. Ada juga mempertahan martabat diri. Dalam peperangan, kita perlu sedia menembak semua musuh. Kita perlu sedia untuk membunuh.”

Menurut Perang, peperangan hanya ada dua konklusi: Membunuh atau terbunuh. Argh! Benarkah Perang akhirnya yang terbunuh?

Damai – individu yang menjadi musuh Perang mengatakan Perang berjuang untuk kepentingan diri. Pengikutnya hanya alat dan tidak sedar mereka diperkotak-katikkan oleh Perang.

Pengikut Perang pula mengatakan Damai seorang yang bacul. Penakut! Terlalu lembut! Dia dikatakan tidak berani berjuang menegakkan hak. Damai dilabel sebagai ‘pak turut’, ‘pak angguk’, ‘hipokrit’, ‘kuda tunggangan’ dan pelbagai istilah lain yang negatif.

Sungguh. Semuanya masih menjadi tanda tanya yang berkepul di langit fikiran. Persoalan itu kian berketul keras dalam minda. Berita kematian Perang masih dianggap khabar angin. Khabar itu hangat di laman maya. Tiada pengesahan rasmi.

Sewaktu Damai balik dari pejabatnya, dia diasak oleh wartawan tentang persoalan kematian Perang. Damai hanya mengetap bibir dengan dahi berkerut. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil berkata, “ Anda sendiri telah membuat jawapan lebih awal. Jadi apakah relevannya soalan itu tadi?”

Berita luar negara lebih terkedepan apabila mengatakan Damai telah menolak seorang wartawan asing. Damai dikatakan takut menjawab soalan tersebut. Lantas timbul spekulasi bahawa kematian Perang ada kaitan dengan perseteruan mereka. Ada akhbar luar negara begitu lantang terus melabel Damai sebagai dalang pembunuhan. Semuanya ditulis serba semberono.

Kematian Perang kian heboh. Pengikut-pengikutnya menanti pengesahan kematiannya dalam debar dan gentar. Mereka masih memasang harapan lebih-lebih lagi tatkala mendengar tubuhnya masih bergerak biarpun sedikit. Benarkah? Betulkah? Lagi-lagi, hanya persoalan yang tercangok dalam dada.

Tengah malam itu barulah anak Perang iaitu Tempur mengumumkan ayahnya telah meninggal dunia. Tiada kesedihan pada wajahnya. Roman wajahnya hanya meriaskan keseriusan. Bibirnya leper. Matanya galak. Dengusan sesekali terlepas dari hidungnya. Pengumuman dibuat di medan tempat letak kereta berhadapan pejabat ayahnya.

“Memang ayah saya telah pergi. Berita itu sahih. Tapi kematiannya tidak mutlak. Dia tidak akan mati kerana pemikiran dan gagasannya masih hidup. Auranya  ada di mana-mana. Adicitanya akan terus bersemarak. Siapa yang dapat menguburkan hasrat dan harapannya? Saya teringat kata-kata seorang pemikir, biar jasad terpenjara tetapi idea dan gagasan yang berpengaruh akan tetap bebas seperti angin.”

Kata-kata itu mendapat sambutan laungan semangat. Keadaan riuh. Ramai datang membawa sepanduk. Kata-kata yang tertulis banyak berbentuk provokatif. Ada yang ditulis dengan sederhana, ada yang ditulis dengan keras. Terbakar perasaan dan semangat. Masyarakat kota yang lalu-lalang di medan itu terus terikut-ikut dengan perhimpunan tersebut. Mereka bukannya menyokong mana-mana pihak tetapi hanya ingin tahu tujuan perarakan berkenaan.

Keesokan paginya mayat Perang sedia untuk dikebumikan. Tanpa mereka sedari, ada musuh Perang di situ. Dia tidak puas hati. Lelaki berwajah cengkung itu mahu memastikan Perang benar-benar telah mati. Kematian Perang masih diragui. Siapa yang tidak ragu jika dikatakan jari tangan dan rahang Perang masih lagi bergerak-gerak. Bagi musuhnya, bayang-bayang Perang pun akan turut meresahkan.

Mayat Perang dibawa ke perkuburan sekitar jam 10.30 pagi. Ramai menanti jenazah tersebut untuk memberi penghormatan terakhir. Kawasan perkuburan sesak. Lelaki berwajah cengkung itu terus memerhati upacara pengkebumian itu. Dia mahu pastikan, memang Perang yang dikuburkan. Bukan orang lain.

Apabila mayat Perang hendak dimasukkan ke liang lahad, suasana riuh. Dada Perang terangkat sedikit. Ada sesuatu keluar melalui mulut dan hidungnya. Semua orang melopong. Ngangaan itu menjadi lebih luas berbanding ketika mereka menerima berita kematian Perang.

Benarkah apa yang mereka saksikan? Betulkah?

Fikiran Perang keluar dari jasadnya melalui hidung dan mulut. Lelaki berwajah cengkung terpempan. Hampir jatuh jantungnya. Serentak itu, jari dan rahang Perang berhenti bergerak. Lelaki berwajah cengkung itu merapati mayat Perang. Dia ingin menangkap fikiran Perang yang cuba melarikan diri. Usahanya gagal. Fikiran Perang pantas berlari apabila menyedari kehadiran musuh.

“Tangkap kelibat fikirannya itu.” Bukan seorang dua konco-konconya tetapi mereka hadir dalam jumlah yang ramai. Semua hanya menangkap angin. Semua merangkul kecewa.

Angin pun berhenti bertiup. Dahan-dahan pokok tidak berkersik. Hanya matahari yang masih bersinar garang. Ke mana perginya fikiran Perang? Fikiran Perang itu melarikan diri ke arah barat. Awan terus berkabut. Ada makna yang tersembunyi di situ.