Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB ketuai misi kemanusiaan ke Pulau Pinang

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri meneruskan misi kemanusiaan ke Pulau Pinang bagi membantu rakyat negeri itu yang ditimpa musibah banjir, sejak 4 November lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, misi diketuainya akan ke Pulau Mutiara bertujuan membantu kerja pembersihan kediaman mangsa dan kemudahan awam lain, mulai 10 hingga 12 Disember ini.

“Pimpinan Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan pegawai dan anggota PANTAS daripada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor yang berada di Pulau Pinang, sejak 6 November lalu.

“Kerajaan Negeri bersama PANTAS dan sukarelawan Selangor akan membantu kerja pembersihan dengan pelbagai kelengkapan dan aset termasuk kenderaan berat dibawa dari negeri ini,” katanya dalam kenyataan media.

Ia adalah misi kedua dan kali pertama pimpinan Kerajaan Negeri turun padang ke Pulau Pinang, pada 5 November lalu.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri akan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada Kerajaan Pulau Pinang berjumlah RM1 juta dan tambahan sumbangan tunai RM350,000 hasil sumbangan anak syarikat Kerajaan Negeri untuk mangsa banjir.

Katanya, kehadiran pimpinan Kerajaan Selangori adalah sebagai tanda solidariti dan sokongan moral untuk rakyat negeri itu ketika menghadapi bencana banjir besar.

“Kita yakin misi kemanusiaan ini adalah selaras dengan dasar Peduli Rakyat yang menjadi teras pentadbiran Kerajaan Negeri, hari ini,” katanya.