Categories
SELANGOR SUKANKINI

Kerajaan Negeri fokus lahir bakat sukan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajan Negeri memberikan fokus kepada usaha melahirkan bakat baru sukan serta membiarkan Persatuan Bola Sepak Selangor dan PKNS FC mencari dana sendiri.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, dua pasukan itu sudah mendapat lesen kelab bagi membolehkan mereka berurusan secara korporat dan menguruskan pentadbiran sendiri selain tidak bergantung kepada Kerajaan Negeri.

“Fokus kita adalah membina bakat daripada peringkat bawah sampai ke peringkat belia atau Piala Presiden. Saya berpandangan selepas dua tahun kita bergiat aktif dan habis berpuluh juta kepada pasukan ini, akhirnya tidak membina peringkat akar umbi,” katanya ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Dewan Negeri Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Menyentuh soal Akademi Merah Kuning, beliau menjelaskan, mereka hanya menerima dana daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM2 juta, pada 2016.

Katanya, program dan pembangunan bola sepak diuruskan menerusi Tabung Pembangunan Bola Sepak Negeri yang ditubuhkan dibawah Perbendaharaan Negeri.

Amirudin turut mengesahkan Akademi Merah Kuning kini mempunyai 900 pemain baru yang dilatih.

Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini pernah mengadakan lawatan ke kelab Ajax Amsterdam di Belanda yang berjaya bergerak sendiri hingga menjana pendapatan sekitar Euro21 juta walaupun diberikan peruntukan awal sekitar Euro7 juta.

“Berdasarkan lawatan kita ke kelab Ajax Amsterdam, akademi mereka bukan sahaja membekalkan pemain berkualiti kepada kelab tetapi juga di peringkat lain.

“Sampai masa mereka (akademi) bergerak sendiri dan tidak dapat dana berterusan daripada Kerajaan Negeri sebaliknya pembelian serta pertukaran pemain serta kontrak pelatih boleh membiayai mereka,” katanya.