Categories
SELANGOR

Tiada jamuan mewah, pantau perbelanjaan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri mengambil pendirian untuk tidak bermewahan dalam menganjurkan jamuan, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin berkata, Perbendaharaan Negeri juga sudah mengeluarkan pekeliling kepada semua jabatan untuk melakukan penjimatan dan memantau perbelanjaan berkaitan.

Katanya, ia bertujuan memastikan penggunaan wang pembayar cukai dilakukan secara berhemah dan tidak membazir.

“Misalnya, kita menetapkan dua jenis kuih sahaja bagi sesuatu jamuan iaitu satu kuih manis dan kuih pedas. Tiada jamuan mewah kerana ia wang rakyat dan tidak boleh dibazirkan begitu sahaja,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi memberi respon kepada cadangan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib supaya Kerajaan Negeri berjimat cermat dalam penganjuran jamuan.

Katanya, amalan itu kini dipraktikkan negara maju di Barat yang berhati-hati dalam berbelanja untuk kos makanan.

Mohamed Azmin berkata, beliau berterima kasih atas peringatan itu dan bersetuju ia seharusnya menjadi sempadan Kerajaan Negeri dalam mengatur perbelanjaan.

“Saya sendiri meminta supaya tidak perlu jamuan hari raya dilakukan di setiap peringkat jabatan dan unit mulai tahun hadapan, cukuplah satu jamuan membabitkan semua,” katanya.

Speaker, Hannah Yeoh kemudiannya mengingatkan Dato’ Menteri Besar berhubung pekeliling berkenaan penyediaan epal hijau sebagai sarapan pagi, di DNS.

Untuk minum petang, DNS turut menghidangkan dua jenis minuman, kopi dan teh serta dua jenis kuih manis juga pedas sebagai pilihan buat mereka yang bertugas.

Ia termasuk anggota Exco, barisan ADN, wakil jabatan dan agensi serta wakil media.