Categories
NASIONAL

Najib gelabah jika saya bertanding Pekan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendakwa Datuk Seri Najib Razak gentar sekiranya beliau bertanding di kerusi Parlimen Pekan, pada pilihan raya umum depan.

Katanya, beliau mempunyai ‘rahsia besar’ yang mampu menggungat kedudukan Najib sebagai wakil rakyat, di Parlimen itu.

“Najib takut kalau saya bertanding Pekan, saya tahu berkenaan 18,000 jumlah pengundi, di sana dan saya tahu berkenaan isu pengundi Pekan.

“Malah, mereka (Barisan Nasional) pada pilihan raya lalu peruntuk sekitar RM20 juta untuk tewaskan saya di Kuantan.

“Walau apapun, saya akan pertahankan Kuantan dan kalau (parti) tukar saya pun, saya lebih berminat di Pekan,” katanya kepada pemberita di Parlimen, petang ini.

Untuk rekod, ini bukan pertama kali kenyataan dikeluarkan pimpinan pembangkang untuk bertanding, di Pekan.

Sebelumnya, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pernah secara sinis terbuka untuk bertanding di kawasan itu.

Terdahulu, Najib memaklumkan beliau tidak pernah membayangkan untuk meninggalkan kerusi berkenaan.

“Saya tidak pernah bermimpi untuk tinggalkan Pekan. Hidup dan mati perjuangan politik saya ialah di Pekan,” katanya lapor Bernama.

Najib menjadi anggota Parlimen Pekan, pada 1976 selepas bapanya, Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.

Sejak itu, Najib kekal menjadi wakil rakyat di kawasan itu, kecuali semasa beliau menjadi Menteri Besar Pahang antara 1982 dan 1986.

Ketika itu beliau mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri Bandar Pekan.