Categories
PBT SELANGOR

Perbaharui lesen sebelum MPAJ bertindak

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG JAYA, 24 NOV: Pemilik premis perniagaan di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diingatkan memperbaharui dan memohon lesen perniagaan bagi 2018.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, Notis Pembaharuan Lesen 2018 sudah diedarkan, pada pertengahan September lalu kepada 10,400 premis berlesen tahun ini.

“MPAJ melalui Jabatan Perlesenan akan mempertingkatkan penguatkuasaan serta mengenakan kompaun kepada pemegang lesen yang gagal memperbaharui lesen, sebelum 31 Disember ini.

“Berkenaan pembaharuan lesen premis perniagaan dan papan iklan, Jabatan Perlesenan sudah memberikan syarat supaya lesen diperbaharui tiga bulan sebelum tamat tempoh, bermula Oktober sehingga Disember setiap bulan,” katanya dalam Mesyuarat Penuh Bil 11/2017.

Jabatan Perlesenan MPAJ menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM7.06 juta, pada 217.

Sehingga 23 November lalu, lebih 6,000 pemilik premis gagal memperbaharui lesen perniagaan.

Abd Hamid berkata, pemilik premis boleh dikenakan kompaun kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen selaras peruntukan Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPAJ) 2008 (UUK) (3) jika melakukan pembaharuan selepas tamat tempoh.

“Jabatan akan meneruskan tindakan operasi dan penguat kuasaan ke atas pemegang lesen yang gagal memperbaharuinya, sebelum 31 Disember ini dengan mengenakan kompaun, bermula 2 Januari 2018.

“Kadar kompaun adalah RM2,000 bagi tempoh Januari sehingga Mac dan RM700 bermula April 2018,” katanya.