Categories
PBT SELANGOR

Perpustakaan bergerak MBSA di empat SRA

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak empat sekolah rendah agama (SRA) akan ditempatkan di perpustakaan bergerak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), mulai tahun hadapan.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, empat sekolah terbabit adalah SRA Paya Jaras, SRA TTDI, SRA Jalan Kebun dan SRA Integrasi Seksyen 19.

“Setiap sekolah akan dilawati dua minggu sekali bagi memudahkan pelajar meminjam dan memulangkan buku, selain bekerjasama dengan sekolah bagi memudahkan pelajar membuat pemulangan buku.

“Perpustakaan ini dilengkapi komputer, 1500 buku akademik dan novel serta pelbagai aktiviti juga program akan dilaksanakan, terutama pada musim cuti sekolah bagi memberi aktiviti riadah bermanfaat kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Perpustakaan Bergerak MBSA 2017 di SRA Integrasi Seksyen 19, di sini.

Pada masa sama, katanya, yuran keahlian RM1 akan dikenakan bagi setiap pelajar dan guru.

“Kita juga akan meletakkan lebih banyak perpustakaan bergerak lebih besar dari sedia ada bergantung kepada penerimaan dan sambutan pelajar,” katanya.

Sementara itu, MBSA kini dalam proses menyediakan perpustakaan komuniti di dua kawasan terpilih iaitu di Seksyen U5 dan Seksyen 19 yang dijangka siap, pada tahun hadapan.

“Ia bertujuan menggalakkan penduduk khususnya anak meluangkan masa dengan aktiviti berfaedah di samping menanam budaya membaca dalam kalangan mereka,” katanya.