Categories
SUKANKINI

PJ Derby curi tumpuan separuh akhir SCL2017

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 NOV: Dua kelab Petaling Jaya, PJ Level Up FC dan Axi-02 PJ FC, mencuri tumpuan dalam perlawanan separuh akhir Selangor Champions League (SCL) 2017, malam ini.

Pertemuan dianggap ‘PJ Derby’ di Stadium Panasonic, di sini, menjanjikan saingan sengit dua pasukan berjiran dalam usaha melayakkan diri ke aksi akhir.

Kedua pasukan dari kawasan sama itu pasti turun berhabis-habisan bagi mengatasi satu sama lain, setelah mara sejauh ini dalam kejohanan bermula 18 September lalu.

PJ Level Up FC mengatasi Hartamas Rebel FC melalui sepakan penalti selepas terikat 2 – 2 manakala Axi-02 PJ FC mengalahkan Klang SouThern 3 – 1 dalam suku akhir lalu.

Manakala Kajang Ultimate FC dan PIB FC pula akan bertemu dalam satu lagi separuh akhir di venue sama.

Perlawanan yang turut menjanjikan cabaran hebat itu bakal menyaksikan dua pasukan dengan taktikal berbeza yang menghiburkan penonton di sepanjang SCL 2017 berlangsung.

Kajang Ultimate FC mempamerkan aksi cemerlang sejak awal kejohanan dengan mengumpul 21 mata bagi mengetuai Kumpulan A, membenam Empayar Bangi FC melalui sepakan penalti selepas seri 2 – 2 dalam suku akhir.

Di peringkat sama, PIB FC pula menewaskan lawan setempat, Shah Alam Condoh FC 1 – 0 bagi menempah pertemuan dengan kelab dari Kajang itu.

Perlawanan akhir SCL 2017 akan diadakan pada 9 Disember ini.