Categories
SELANGOR

Polis Selangor selamatkan 56 mangsa sindiket

SHAH ALAM, 14 NOV: Polis Selangor menyelamatkan 56 mangsa eksploitasi sindiket pengemis dalam Op Ehsan, bermula Julai lalu hingga semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, dalam operasi dijalankan di 24 lokasi tumpuan di seluruh Selangor itu, pihaknya turut menahan 52 suspek dipercayai anggota sindiket dan pengemis.

“Kesemua mangsa yang diselamatkan ditempatkan di rumah perlindungan sementara menunggu perbicaraan berlangsung, mereka ini turut dijadikan saksi dalam pendakwaan anggota sindiket ditahan.

“Sejak operasi bermula hingga hari ini, 14 kes dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, semalam.

Beliau berkata, anggota sindiket dan pengemis yang ditahan berusia antara lapan hingga 50-an, lapor Bernama.