Categories
GLOBAL

Rakyat Zimbabwe jalani kehidupan seperti biasa

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Keadaan terkini di Zimbabwe kekal terkawal dan penduduknya menjalani kehidupan harian seperti biasa, kata Kedutaan Besar Malaysia, di negara itu.

Kedutaan itu dalam e-melnya kepada Bernama berkata, ketegangan dan kebimbangan terhadap situasi itu sudah reda dengan penduduk Zimbabwe menanti pelantikan ketua negara baharu.

“Warga Malaysia boleh berkunjung ke Zimbabwe dan dinasihatkan berhati-hati serta mengelak lokasi tumpuan ramai untuk beberapa hari lagi memandangkan rakyat Zimbabwe masih lagi meraikan secara terbuka perkembangan politik terkini susulan pengunduran Presiden Robert Mugabe,” katanya.

Katanya, bilangan warga Malaysia yang diketahui serta berdaftar dengan kedutaan adalah tiga orang.

“Hanya seorang warga Malaysia berada di Harare, pada masa ini dan berhubung kedutaan sementara, dua lagi berada di luar Zimbabwe serta menghubungi kedutaan dari masa ke masa,” katanya.