Categories
SELANGOR

MDKL sita lima premis diusaha warga Bangladesh

SAUJANA PUTRA,, 23 NOV: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menyita lima premis perniagaan dikendalikan warganegara Bangladesh selepas dipercayai menjalankan perniagaan tanpa lesen sejak awal 2017, di sini.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, Operasi Khas Sitaan Premis Perniagaan MDKL warganegara asing itu dilaksanakan setelah lima pemantauan dan risikan termasuk mengeluarkan notis, sejak April lalu.

Katanya, operasi dengan kekuatan 20 anggota diketuai Ketua Operasi, Mohd Hairul Nizam Salimin itu turut mengenalpasti pengusaha menjalankan perniagaan jenis jualan makanan dan mengusahakan kedai runcit, pada 21 November lalu.

“Hasil siasatan, anggota kami berjaya merampas peralatan penyediaan makanan dan barangan runcit membabitkan dua premis kedai makan dan tiga buah premis kedai runcit.

“Barang barang sitaan kemudiannya dihantar ke stor Pejabat Cawangan MDKL Bandar Saujana Putra untuk tindakan lanjut,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zain berkata, tindakan sitaan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil 38(1) Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MDKL 2007 (Premis perniagaan runcit) dan Undang-Undang Kecil 57(1) Undang-Undang Kecil Establishment Makanan MDKL 2007 (Premis makanan dan minuman).

Katanya, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana premis perniagaan diusahakan tanpa lesen bagi mengelakkan pelbagai masalah berkaitan.