Categories
SELANGOR

RM20,000 jayakan Smart Journey

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 NOV: Sejumlah RM20,000 diperuntukkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bagi menjayakan program yang julung kali diadakan, iaitu Smart Journey.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, YM Raja Shahreen Raja Othman berkata, program di bawah Smart Selangor Community Building itu membabitkan 50 murid sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah, di Shah Alam.

Katanya, ia bertujuan memberi pendedahan dan mencambah minat murid terhadap teknologi masa hadapan.

“Kali ini, kita bawa mereka ke pusat robotik sebagai pengenalan kepada anak kecil ini, supaya ia tidak lagi menjadi sesuatu yang asing kepada mereka seperti, di Eropah.

“Robotik ini meluas digunakan seperti dalam bidang pembuatan, penyelidikan perubatan dan pengurusan sampah,” katanya ketika menyempurnakan Perasmian Program Smart Journey, di Denai Alam Recreational dan Riding Club, di sini, pada 25 November lalu.

Pada masa sama, Raja Shahreen berkata, pihaknya bersedia untuk meneruskan program berkenaan dengan membabitkan lebih ramai murid, pada masa hadapan.

“Ini bukan sekali sahaja, kita akan teruskan pada masa sesuai, namun mungkin dengan intipati berbeza.

“Objektifnya masih sama iaitu memberi pendedahan kepada anak-anak berkenaan apa yang menanti mereka di masa hadapan,” katanya.

Majlis turut menyaksikan kesemua murid menerima bantuan persekolahan, termasuk pemberian baucar pakaian sekolah dengan masing-masing menerima RM100.

Terdahulu, kesemua murid dibawa ke CR8 Robotics Centre Summit USJ, Subang Jaya dengan bas Smart Selangor.