Categories
SELANGOR

RM30 juta teruskan perkhidmatan Bas Smart Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 NOV: Ekoran sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperuntukan RM30 juta bagi meneruskan inisiatif perkhidmatan Bas Smart Selangor, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkhidmatan Bas Smart Selangor turut ditingkatkan jumlah laluan, khususnya di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana serta kawasan awam seperti sekolah, pasar, hospital, pusat pengajian tinggi juga industri.

“Sehingga 30 September lalu, Kerajaan Negeri membiayai kos pelaksanaan RM43 juta untuk menyediakan 100 unit Bas Smart Selangor yang sedang beroperasi, di 30 laluan meliputi semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan memberi manfaat kepada 22.1 juta ridership dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Katanya, sebelum ini Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM18.6 juta untuk menyediakan 22 bas termasuk Bas Elektrik membabitkan empat laluan.

Katanya, usaha Kerajaan Negeri ini mendapat pengiktirafan The Malaysia Book Of Records sebagai ‘Most Number of Free Shuttle Bus Services Provided By State Government’, pada 24 September lalu.

“Kerajaan Negeri juga menggesa PBT menyediakan laluan berbasikal sejauh 15 kilometer (km) untuk majlis bandaraya dan perbandaran serta 10 km untuk majlis daerah selain memperluaskan perkhidmatan basikal boleh sewa,” katanya.