Categories
RENCANA SELANGOR

Belanjawan Selangor, belanjawan ‘goverment-in-waiting’

OLEH NAZLI IBRAHIM

Selepas dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 3 November lalu dan kemudiannya berhari-hari dibahaskan, akhirnya Belanjawan Negeri Selangor 2018 selamat diluluskan.

Kini tiba masa bagi barisan kepimpinan dan jentera Kerajaan Negeri bekerja keras untuk menterjemahkan belanjawan dibentangkan kali ini menjadi realiti kepada rakyat.

Sedar tak sedar, belanjawan kali ini merupakan kali keempat dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan seperti biasa, belanjawan ini meneruskan tradisi Kerajaan Pakatan Selangor melahirkan idea-idea segar yang tidak dijangkakan rakyat bahawa sebenarnya banyak perkara boleh dilaksanakan oleh sebuah kerajaan.

Lebih daripada itu, acap kali idea-idea ini langsung tidak terjangkau di pemikiran pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) baik di peringkat negeri mahupun peringkat persekutuan lantaran lebih bernafsu mempertahankan kedudukan masing-masing berbanding berkhidmat kepada rakyat.

Pada era pentadbiran Umno-BN sebelum 2008, rakyat Malaysia secara amnya menganggap kerajaan yang baik hanyalah sebuah kerajaan yang mampu menurap jalan tar di kampung-kampung, mengalirkan air di muncung paip, menerangi rumah dengan cahaya lampu elektrik atau mampu menyelesaikan masalah longkang tersumbat dan lain-lain seumpamanya semata-mata.

Sedangkan sebuah kerajaan yang baik adalah kerajaan yang mampu memainkan peranan dengan skop yang jauh lebih luas, agresif meningkatkan taraf ekonomi dan kebajikan rakyatnya dengan idea-idea segar bersesuaian dengan peredaran semasa.

 

Pentadbiran Umno-BN masih ditakuk 1990-an

Berbanding Umno-BN, pada hari ini mereka masih mengamalkan pentadbiran sebuah kerajaan yang sama seperti sebelum era 1990-an.

Dalam tempoh itu hingga kini, tahap perkhidmatan dan mentaliti pemimpin kerajaan Umno-BN tidak banyak berkembang bersesuaian dengan peredaran zaman. .

Mereka masih lagi terperangkap dengan dakyah ciptaan mereka sendiri di mana menganggap diri mereka adalah tuan kepada rakyat.

Bagaimanapun, kewujudan Kerajaan Pakatan Selangor hari ini yang memberi dimensi baru, bagaimana sebuah kerajaan boleh memaksimumkan perkhidmatan seperti apa yang sepatutnya kepada rakyat.

Namun, kemunculan Kerajaan Pakatan Selangor ini sedikit sebanyak turut memberi kesan positif kepada rakyat di negeri yang ditadbir kerajaan Umno-BN apabila mereka meniru idea-idea yang dilahirkan Kerajaan Pakatan Selangor.

Maka memang tidak menghairankan setiap kali Belanjawan Selangor dibentangkan, bukan sahaja dinantikan rakyat Selangor, malahan turut mencuri tumpuan banyak pihak termasuklah penganalisis ekonomi, pemimpin dan rakyat negeri lain.

Keprihatinan rakyat Selangor terhadap isi pembentangan belanjawan Selangor memang mudah difahami kerana mereka merupakan kelompok masyarakat yang disasarkan bagi setiap inisiatif yang ditawarkan dalam belanjawan itu.

Manakala bagi rakyat negeri lain, selain menumpang gembira rakyat Selangor, apa yang menarik minat mereka apabila pada akal fikiran masing-masing terbayang kesan positif yang dikecapi sekiranya Pakatan menerajui Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Belanjawan ‘goverment-in-waiting’

Dekan Pusat Pembangunan Asasi Universiti Selangor (UNISEL), Dr Hamdan Dato’ Salleh, menyifatkan faktor Selangor merupakan negeri diterajui Pakatan menyebabkan rakyat melihat belanjawan yang dibentangkan sebagai belanjawan ‘goverment-in-waiting’ atau kerajaan menanti.

“Penawaran belanjawan yang unik juga pastinya menarik minat rakyat termasuk negeri lain. Program-program yang bakal dilaksanakan seperti dalam pembentangan belanjawan akan menjadi manifestasi kepada keyakinan rakyat terhadap komitmen Kerajaan Negeri dalam merakyatkan ekonomi negeri serta dalam masa sama menjadikan Selangor maju menerusi ‘Smart State’.

“Terdapat tawaran menarik dalam belanjawan Selangor yang cukup menarik perhatian rakyat. Rakyat boleh membayangkan bahawa jika dengan belanjawan sekitar RM3 bilion, pelbagai faedah menarik ditawarkan, bayangkan berapa banyak pula jika kerajaan sebegini mampu lakukan jika belanjawan sebesar RM200 bilion seperti persekutuan.

“Ini satu bukti oposisi mampu menawarkan alternatif kepada Kerajaan Persekutuan sedia ada. Maknanya ia bukan sekadar retorika,” katanya kepada SelangorKini.

Jelasnya, langkah Kerajaan Negeri dalam belanjawan 2018, misalnya meluluskan RM3 juta untuk program dermasiswa, yuran pengajian dan asrama percuma yang disertakan wang saku untuk penuntut Universiti Selangor (UNISEL) sudah pasti menarik dan menjadi buah mulut rakyat negeri lain khususnya di laman-laman sosial.

Katanya, selain itu progam Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) di mana bantuan kewangan sebanyak RM2,400 setahun bagi membantu golongan ibu berpendapatan rendah di bawah RM2,000, ibu tunggal dan wanita yang tidak berkahwin tetapi menjaga ibu bapa turut mencuri perhatian rakyat seluruh Malaysia.

Dalam belanjawan kali ini, Selangor sekali lagi meneruskan tradisi meneraju membela kebajikan rakyat dengan pelbagai inisiatif yang dibentangkan di mana sejumlah RM309 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi menjayakan program kebajikan rakyat bagi 2018 termasuk meneruskan program Inisiatif Peduli Sihat.

Katanya lagi, sebagai ‘goverment-in-waiting’ akhirnya menyebabkan rakyat, penganalisis ekonomi dan penganalisis politik tidak dapat mengelak melakukan perbandingan belanjawan ditawarkan Kerajaan Negeri dengan belanjawan Kerajaan Persekutuan.

“Rakyat tertarik dengan 42 program ditawarkan menerusi belanjawan kepada rakyat Selangor yang antaranya terkehadapan dan menjadi peneraju hingga menjadi ikutan kepada persekutuan dan negeri lain.

“Justeru, belanjawan Selangor sentiasa menjadi tumpuan dan dengan demografi Selangor hampir sama dengan Malaysia, belanjawan ini pasti dibandingkan dengan persekutuan atau negeri lain di bawah BN,” katanya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah, pula berpendapat, secara umumnya rakyat Malaysia melihat kebolehan Pakatan mentadbir sebuah kerajaan sebagai cerminan kepada Malaysia dalam skala yang lebih kecil.

“Peratusan belanja pembangunan Selangor yang jauh lebih besar daripada persekutuan dan ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri memacu ekonomi negeri dengan memberikan peluang kepada sektor swasta untuk turut serta dalam arus pembangunan negeri,” katanya.

 

Teruskan berimpian

Selama sembilan tahun Selangor diterajui Pakatan sebenarnya telah memberi satu mesej yang jelas kepada rakyat supaya mengambil serius terhadap apa yang bakal ditawarkan Pakatan Harapan di dalam manifesto pilihan rayanya nanti mahupun di dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan yang dibentangkan sebelum ini.

Hal ini jelas kerana Kerajaan Negeri yang berdiri di Selangor hari ini merupakan bukti terbaik terhadap kewujudan sebuah kerajaan yang cekap memberikan perkhidmatannya kepada rakyat dengan pelbagai inisiatif yang mana tidak terfikir oleh rakyat sendiri sebelum ini.

Jangan kusutkan fikiran untuk menyakininya. Perkara ini boleh dibuktikan dengan sangat mudah. Tanya diri pembaca sendiri dan jawab dengan hati yang jujur – sebelum 2008, pernahkah terlintas dalam fikiran pembaca yang bijaksana bahawa akan wujud sebuah kerajaan yang mampu memberikan bekalan air percuma kepada rakyatnya? Sudah tentu tidak.

Namun hari ini sudah sembilan tahun skim bekalan air percuma dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang betul-betul peduli rakyat.

Teruskan berimpian kerana kerajaan seperti ini memang wujud.

=EZY=

Categories
SELANGOR

MB kongsi ‘detik sukar’ siap Belanjawan 2018

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Memikul tanggungjawab sebagai Dato’ Menteri Besar di negeri bukan diterajui Barisan Nasional lebih mencabar terutama apabila terpaksa berurusan dengan isu di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu dialami Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang terpaksa berhadapan kerenah pegawai tinggi persekutuan ketika beliau dan pasukannya bertungkus-lumus menyiapkan Belanjawan Selangor 2018.

Berkongsi pengalamannya, beliau berkata, kesulitan mula timbul apabila pihaknya tidak mendapat kerjasama baik berhubung permintaannya menyambung khidmat Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman yang bersara, pada 3 Oktober lalu.

“Ketika merencanakan belanjawan, keadaannya semakin sukar kerana di saat hampir merumuskannya, Dato’ Noordin bersara, genap sebulan (belanjawan) sebelum dibentangkan.

“Saya minta (tempoh) dilanjutkan kerana kita sibuk menyiapkan belanjawan dan menghubungi Ketua Setiausaha Negara dua kali, selain mengutus surat rasmi tetapi tidak diendahkan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, keadaan semakin sulit apabila Timbalan Pegawai Kewangan Negeri dan Bendahari Negeri secara tiba-tiba turut dipindahkan ke Putrajaya.

Katanya, tiga individu berkenaan penting dalam pentadbiran Kerajaan Negeri yang terbabit secara langsung dalam menggubal belanjawan tetapi tidak bersama, ketika saat akhir.

“Sehinggalah tiga hari sebelum saya bentangkan (belanjawan), baru Dato’ Noordin dilanjutkan perkhidmatannya tetapi tiga bulan sahaja.

“Tetapi, saya bersyukur kerana Selangor memiliki pegawai dan anggota perkhidmatan awam yang cukup profesional sehingga berjaya membantu Kerajaan Negeri menyiapkan belanjawan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Mohamed Azmin turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus bekerja sehingga lewat malam bagi menyiapkan Belanjawan Selangor 2018.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

#Selangor18: Masa terbaik menggandakan pembangunan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 NOV: Barisan Exco Kerajaan Negeri menyambut baik Belanjawan 2018 dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang terus memberikan tumpuan kepada aspek pembangunan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari menyifatkan ia belanjawan bertanggungjawab dan menyeluruh termasuk semua aspek persediaan sukan kita.

“Kita mengharapkan belia dan kebudayaan ada peningkatan. Sekarang apa yang kita harapkan dari semua agensi untuk melaksanakan.

“Dengan pertambahan belanjawan itu mungkin akan menambah sedikit lagi intensiti kerja,” katanya.

Menurutnya, semua rancangan yang dirangka untuk 2017 hampir 80 peratus dapat dilaksanakan.

Bagi Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib beliau melihat Belanjawan 2018 lengkap merangkumi kebaikan dan kebajikan seluruh segmen masyarakat.

“Dengan penambahan peratusan pembelanjaan pembangunan menunjukkan Kerajaan Negeri begitu komited untuk mempertingkatkan pembangunan di Negeri Selangor.

“Yang lebih menarik, lebih 70 peratus daripada belanjawan itu untuk infrastruktur. Untuk pertanian juga bagus dengan pengenalan skim insurans,” katanya.

Menyentuh aspek pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi gembira dengan pertambahan peruntukkan yang diberikan.

Ini termasuk penekankan kepentingan pendidikan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).

“Alhamdulillah, satu komitmen besar Kerajaan Negeri kepada pendidikan dari semua peringkat ini kerana kita menyedari ia amat penting termasuk sumbangan untuk sekolah yang dinaikkan kepada RM22 juta berbanding RM16 juta sebelum ini.

“Kenaikan kepada RM24 juta untuk tahun akan datang khusus buat Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan SJKC. Kita juga menyediakan peruntukkan untuk pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).

“Ini menunjukkan komitmen kita bahawa ia sektor penting kepada pembangunan rakyat Negeri Selangor,” katanya.

Di samping itu, program Peduli Siswa Timur Tengah yang diperkenalkan bagi membantu anak Selangor yang belajar di luar negara bakal menerima sambutan baik.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Kerajaan Negeri memandang pelaburan modal insan jangka panjang khususnya dalam memberikan keprihatinan terhadap nasib pelajar maahad tahfiz di Selangor.

“Belanjwan yang menyeluruh dan untuk jawatankuasa saya ia belanjawan yang baik terutamanya melibatkan pendidikan Islam.

“Saya rasa ia menjurus kepada soal jangka masa panjang. Apabila ada peruntukkan untuk sekolah tahfiz kita dinaiktaraf berdasarkan senario semasa.

“Mengenai inisiatif Peduli Siswa Timur Tengah yang diperkenalkan, ia merupakan satu talian hayat buat pelajar kita di sana. Apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuat keputusan untuk tidak menaggung pelajaran mereka maka kita mngambil tanggungjawb itu,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Gan Pei Nei memuji beberapa inisiatif diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan melibatkan teknologi hijau.

“Dalam pembangunan Selangor ini kita tidak boleh lupakan alam sekitar juga perlu dikawal secara mampan.

“Dalam kita fokus kepada pembangunan kita juga perlu kekalkan aspek hijau sebab kita nampak peruntukkan juga bertambah.

“Kita juga integrasikan teknologi hijau dalam aspek pembangunan negeri termasuk pengangkutan. Kita nampak ia satu dasar yang lebih menyeluruh,” katanya.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Selangor RM52 juta ‘vs’ Persekutuan RM4.5 juta untuk TVET

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 NOV: Peruntukan RM4.5 juta bagi melonjakkan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti diumumkan dalam Belanjawan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini mencerminkan sikap tidak serius dalam menyediakan tenaga kerja mahir di kalangan belia dan sekaligus menangani isu pengangguran.

Dato’ Menteri Besar , Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal ini berbeza dengan Kerajaan Negeri yang menyedari kepentingan menyediakan belia berkemahiran tinggi bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM52 juta menerusi program terbarunya Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS).

“Kita bertindak berdasarkan fakta dikemukakan banyak laporan di mana isu pengangguran di Malaysia melepasi satu angka membimbangkan dan sebab itu Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk melihat bagaimana penyelesaiannya.

“Penyelesaian terbaik adalah beri kemahiran kepada anak muda dan tak mungkin masalah ini dapat diselesaikan kalau peruntukan hanya RM4.5 juta di mana jumlah belia yang terlibat adalah besar.

“Walaupun ada antara mereka memiliki pendidikan asas seperti diploma atau ijazah tetapi dalam mencapai sebuah negara maju dan melalui satu proses transformasi ke arah revolusi industri 4.0 kita kena bersedia dengan tenaga kerja yang terlatih dan mempunyai kemahiran,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas beliau membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Jelasnya, walaupun Selangor hanyalah merupakan sebuah negeri yang kecil, namun peruntukan RM52 juta dianggap sebagai satu jumlah besar berbanding RM4.5 juta peruntukan untuk belia seluruh negara.

Justeru katanya, langkah Kerajaan Persekutuan itu jelas merupakan keputusan salah dan merugikan golongan belia itu sendiri.

Katanya lagi, beliau percaya usahasama dengan beberapa agensi bertauliah bagi memberikan latihan kemahiran mampu melahirkan anak muda berkemahiran dan akhirnya menembusi pasaran kerja dalam industri memerlukan tenaga kerja mahir.

=EZY=

Categories
SELANGOR

#Selangor18: SITEC terima peruntukan RM6 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Selangor Information Technology and E-Commerce Council (SITEC) menerima peruntukan RM6 juta bagi memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi maklumat dan pembangunan e-dagang, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, program yang menggunakan ‘model Epicentre Google for Entrepreneurs’ di Stockholm dan program accelerator untuk membangunkan komuniti ‘start-up’ akan dilaksanakan.

Katanya, ia bertujuan memperkasa komuniti perniagaan kecil dan sederhana (SME), di Selangor.

“Selaras dengan trend global yang beralih kepada Fourth Industrial Revolution (IR4.0), beberapa bidang industri berteknologi tinggi dan berimpak tinggi dikenal pasti berpotensi untuk berkembang seperti e-commerce, bioteknologi, aeroangkasa dan industri halal,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM2 juta untuk pembangunan ‘blueprint’ aeroangkasa dalam usaha mengangkat Selangor sebagai pemain utama dalam sektor itu.

Katanya, Selangor berjaya menarik perhatian General Electric International melalui GE Engine Services Malaysia yang terlibat dalam bidang Maintenance, Repair and Overhaul (MRO).

“Ia bertujuan memperluaskan pelaburan baru bernilai RM200 juta dalam meningkatkan keupayaan kemudahan untuk menyelenggara ‘leap engine’ di Subang.

“Baker Hughes (BHGE), syarikat dimiliki General Electric International bakal membina kemudahan MRO bagi penyelenggaraan ‘oil and gas turbine’ bernilai RM200 juta di Klang.

“Pusat ini menyediakan perkhidmatan kepada pasaran Asia Pasifik,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menyediakan dana awal berjumlah RM10 juta bagi membiayai penyelidikan dan pembangunan (R&D) bioteknologi sebagai insentif menjalankan penyelidikan di Selangor.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Penjawat awam terima skim pelindungan insurans

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV : Kerajaan Negeri mencadangkan program perlindungan skim insurans bersifat takaful berkelompok untuk penjawat awam sehingga Gred 44, di bawah pentadbiran Kerajaan Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelaksanaannya bakal memberi manfaat kepada lebih 10,000 pembantu tadbir, pekerja rendah awam, anggota penguatkuasa, pengawal keselamatan dan pemandu.

“Skim ini akan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM3 juta, bagi 2018 dengan skop perlindungan komprehensif terdiri daripada kematian atau hilang upaya kekal ekoran kemalangan.

“Ia turut membabitkan bantuan khairat kematian, rawatan perubatan, elaun wad tunai, kematian ekoran penyakit atau selain dari kemalangan juga hilang upaya kekal menyeluruh akibat penyakit,” katanya.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata, pelaksanaanya turut meliputi bantuan perlindungan manfaat hospital (hospitalization) termasuk rawatan perubatan pesakit luar, di hospital Kerajaan atau swasta.

Terdahulu, Kerajaan Negeri turut mengumumkan bantuan khas kewangan tiga bulan gaji sebagai inisiatif menghargai peranan penjawat awam negeri.

Jumlah berkenaan meningkat berbanding tahun lalu, sebanyak dua bulan gaji.

Untuk rekod, Selangor merupakan satu-satunya Kerajaan Negeri yang menawarkan bantuan kewangan paling tinggi berbanding negeri lain.

Categories
SELANGOR

RM10.6 juta untuk pembangunan infrastruktur digital

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM10.6 juta disediakan Kerajaan Negeri bagi pembangunan infrastruktur digital termasuk penambahbaikan landasan Public Citizen Partnership (PCP), bagi 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, RM11 juta pula disediakan bagi pelaksanaan projek perhentian bas pintar, pembangunan ‘epicentre’ dan ‘accelerator’ serta pembangunan silibus ‘internet of things’ (IoT) bersama industri.

Katanya, Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) juga dicadang membangunkan ‘State Wide Area Network’ merangkumi ‘Data Centre’ untuk ‘disaster recovery’ bagi memastikan ‘e-government’ lebih efisien dan telus.

“Smart city yang dipacu teknologi Big Data adalah dalam capaian kita.

“Dengan meningkatnya mobiliti dan ‘connectivity’, Selangor akan menerajui transformasi digital untuk membina negeri pintar, pantas dan ‘more connected’,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, SSDU sudah melaksanakan 14 projek perintis dalam tempoh satu setengah tahun.

 Katanya, ia meliputi Smart Waste Management, pembersihan Sungai Klang dan kerjasama dengan Google Waze untuk pelaporan jalan berlubang serta pertambahan bilangan hotspot WiFi percuma Smart Selangor kepada 2,500 AP dan dijangka bertambah kepada 3,800 AP khususnya di kawasan luar bandar.

“Smart Selangor Command Centre (SSCC) juga sudah beroperasi memusatkan kesemua data negeri untuk dianalisa bagi memudahkan operasi pemantauan menerusi satelit dan pengurusan insiden hutan terbakar,
pencemaran air serta lokasi sampah haram.

“SSDU menggunakan 10 unit pemantauan kualiti udara dan kini di peringkat akhir membangun aplikasi memaparkan waktu ketibaan Bas Smart Selangor tanpa perlu menunggu lama di perhentian bas.

“SSDU juga sedang mewujudkan sistem aplikasi ‘smart parking’ bersepadu melalui pembangunan sistem
‘e-wallet’ bagi memudahkan pengguna tanpa perlu menggunakan kupon mahupun wang tunai,” katanya.

SSDU ditubuhkan untuk merangka dan melaksana inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan ‘regional smart state’.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Kemudahan pendidikan terus dipelbagaikan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat menaikkan siling kelayakan pendapatan isi rumah keluarga dari RM3,000 kepada RM5,000 bagi program Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (HPIPT).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, program membantu anak Selangor yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA atau IPTS itu akan diteruskan dengan peruntukan RM8 juta.

“Sejak diperkenalkan, seramai 63,304 mahasiswa menerima manfaat HPIPT dengan perbelanjaan RM63.3 juta,” katanya.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri akan menyediakan RM5.6 juta bagi melaksanakan program pembangunan modal insan yang bertujuan menyiapkan sumber daya manusia berketrampilan.

Beliau berkata, RM2.51 juta pula diperuntukan bagi program pembangunan mahasiswa, pada 2018 berbanding RM1.3 juta, pada 2017 sebagai usaha memupuk budaya kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa melalui aktiviti kemasyarakatan.

“Untuk program Tuisyen Rakyat Selangor, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM3.9 juta untuk meneruskan program ini.

“Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif melaksanakan program tuisyen atas talian (online tuition) secara percuma.

“Pada 2017, RM5 juta diperuntukkan untuk 2,355 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diteruskan dengan peruntukan sama, pada 2018,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor Business School terima peruntukan RM10 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat memperuntukan RM10 juta kepada Selangor Business School (SBS), pada 2018 untuk melahirkan graduan cemerlang dan kompeten dalam industri serta pentadbiran awam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, SBS akan menjadi ‘game changer’ dalam kursus sarjana dan ijazah kedoktoran menerusi bidang perniagaan sejak mula ditubuhkan, pada 2017.

“Cita-cita Kerajaan Negeri untuk membangunkan SBS sebagai Business School terbaik di Malaysia dan pemain utama di rantau ini menjelang 2027,” katanya.

Katanya, program Youth Enhancement Strategic Selangor (YES) akan menerima peruntukan RM2.5 juta, bagi 2018.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Program Pembangunan Bakat yang dimulakan tahun lalu dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) berjaya membina generasi muda yang kompeten dalam bidang teknikal dan vokasional bagi memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata, ia merangkumi belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar Universiti Selangor (UNISEL) yang berminat menyertai Internship for High Impact Talent (i-HIT) serta #SMART Technical Workforce.

“Selain itu, program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan Eksekutif dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) akan diteruskan, pada 2018 dengan peruntukan RM300,000,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM2 juta upaya pertanian menerusi teknologi fertigasi

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri komited meningkatkan keupayaan usahawan dan menggalakkan pembabitan golongan millennials dalam teknologi fertigasi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, untuk tujuan itu Kerajaan Negeri akan meningkatkan peruntukan dari RM960,000 setahun kepada RM2 juta bagi 2018, termasuk program AgroGems.

“Pelbagai tanaman boleh menggunakan teknologi fertigasi seperti cili, rock melon, timun, peria dan labu air serta sesuai digunakan di kawasan tanah kurang subur seperti tanah gambut selain dapat memanfaatkan kawasan tanah terbiar,” katanya.

Untuk rekod, walaupun berlaku fenomena El Nino, pengeluaran hasil tanaman sayur-sayuran secara konvensional dan fertigasi, di Sabak Bernam masih mampu mencatatkan pengeluaran 1.03 juta metrik tan dengan nilai RM 3.24 juta, pada 2015-2016.

Sementara itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberdayaan nelayan, petani, penternak dan pesawah melalui program latihan serta bantuan peralatan dengan peruntukan RM 7.1 juta, pada 2018.

“Sebagai kerajaan yang peduli masyarakat desa, Kerajaan Negeri segera tampil menyalurkan bantuan kewangan kepada pesawah yang terkesan ekoran serangan penyakit Bacterial Leaf Blight (BLB) atau Bakteria Hawar Daun.

“Kerajaan Negeri menyalurkan RM8.54 juta kepada 8,953 pengusaha sawah termasuk Pak Lang Razak dari Sungai Leman yang tersenyum lebar menerima cek Kerajaan Negeri daripada saya,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM5 juta biaya pencegahan, kawalan denggi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri terus komited menangani ancaman jangkitan virus denggi, di Selangor dengan memperuntukkan RM5 juta untuk program pencegahan dan kawalan, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu akan disalurkan ekoran usaha sebelum ini menunjukkan hasil positif dengan kadar penurunan ketara kes denggi sebanyak 11 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Pelbagai usaha dan aktiviti kawalan serta pencegahan di lokaliti yang dikenal pasti sebagai kawasan hotspot sudah dijalankan,” katanya.

Katanya, sebagai negeri pintar, Selangor tidak sekadar mengambil pendekatan tindak balas tetapi menggunakan kaedah ‘predictive analytics’ untuk meramal serangan denggi dan mengambil tindakan ‘preemptive’ untuk menangani serangan Aedes.

Sementara itu, ketika menyentuh usaha pemuliharaan sumber hutan di Selangor, Mohamed Azmin berkata, Hutan Simpan Raja Musa diterima secara sah dan diakreditasikan secara rasmi, pada 13 September lalu oleh Sekretariat QCC.

“Hutan Simpan Raja Musa juga mendapat pengiktirafan badan antarabangsa apabila satu acara berprestij iaitu Queen’s Baton Relay (QBR) yang merupakan acara simbolik persinggahan baton atau obor sempena Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia yang berlangsung dengan jayanya pada 18 Oktober lalu,” katanya.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Tambahan RM12 juta untuk Smart Life

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 NOV: Peruntukan tambahan RM12 juta disediakan Kerajaan Negeri untuk skim Smart Life menerusi Belanjawan 2018 bagi terus membantu rakyat, di kawasan perumahan pangsapuri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, skim dimulakan tahun ini dengan bantuan khas RM30 juta bagi menggantikan lif lama secara percuma tanpa perkongsian dengan penduduk.

“Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menggantikan 118 unit lif baru bagi 59 blok pangsapuri kos rendah dengan peruntukan RM29.3 juta untuk mensejahterakan 87,000 penduduk di 17,000 unit kediaman,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri prihatin dengan keadaan lif di pangsapuri kos rendah dan bersimpati dengan pemilik juga penghuni yang tidak mampu membiayai penyelenggaraan lif usang serta sering mengalami kerosakan hingga menimbulkan kesusahan.

Katanya, kerja penyelenggaraan lif amat membebankan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) memandangkan kos penyelenggaraan satu unit lif mencecah RM650 setiap bulan.

“Ini bermakna, penduduk terpaksa menanggung sehingga RM7,800 setahun untuk menyelenggara satu unit lif.

“Bayangkan jika setiap blok mempunyai dua atau tiga unit lif, maka kos penyelenggaraan akan mencecah hampir RM25,000 setahun bagi satu blok,” katanya.