Categories
SELANGOR

Selangor Business School terima peruntukan RM10 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat memperuntukan RM10 juta kepada Selangor Business School (SBS), pada 2018 untuk melahirkan graduan cemerlang dan kompeten dalam industri serta pentadbiran awam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, SBS akan menjadi ‘game changer’ dalam kursus sarjana dan ijazah kedoktoran menerusi bidang perniagaan sejak mula ditubuhkan, pada 2017.

“Cita-cita Kerajaan Negeri untuk membangunkan SBS sebagai Business School terbaik di Malaysia dan pemain utama di rantau ini menjelang 2027,” katanya.

Katanya, program Youth Enhancement Strategic Selangor (YES) akan menerima peruntukan RM2.5 juta, bagi 2018.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Program Pembangunan Bakat yang dimulakan tahun lalu dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) berjaya membina generasi muda yang kompeten dalam bidang teknikal dan vokasional bagi memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata, ia merangkumi belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar Universiti Selangor (UNISEL) yang berminat menyertai Internship for High Impact Talent (i-HIT) serta #SMART Technical Workforce.

“Selain itu, program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan Eksekutif dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) akan diteruskan, pada 2018 dengan peruntukan RM300,000,” katanya.