Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor umum bantuan banjir RM1 juta kepada P.Pinang

PULAU PINANG 5 NOV: Kerajaan Selangor mengumumkan memberikan bantuan RM1 juta kepada Pulau Pinang sebagai bantuan banjir.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihak berkuasa tempatan di Selangor diarahkan bagi menggerakkan petugas bagi membantu kerja pembersihan selepas banjir.

“Ini adalah usaha kecil Selangor membantu Pulau Pinang pada waktu yang sukar begini, tetapi saya gembira melihat negeri ini, terutamanya di bahagian pulau, yang mula pulih,” katanya kepada wartawan di George Town.

Mohamed Azmin sebelum itu menziarahi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di pejabatnya di Komtar.

Beliau sebelum itu diberi taklimat mengenai perkembangan banjir di Pulau Pinang di bilik kawalan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Menurut beliau, Kerajaan Selangor akan memberikan sokongan penuh menyediakan bantuan kepada mangsa banjir.

“Sementara itu, saya telah meminta pasukan sukarelawan untuk segera bergerak ke Pulau Pinang dalam beberapa fasa mulai petang ini,” katanya.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri, Wong Hon Wai; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Farizan Darus, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Ghazali Derahman dan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Mohamed Azmin dalam pada itu turut memuji Ketua Menteri yang memberikan komitmen selama 48 jam dalam menangani isu banjir yang berlaku di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Guan Eng ketika berucap menyatakan rasa terharu kepada sokongan yang ditunjukkan oleh Mohamed Azmin bersama-sama rombongannya.

“Saya berasa terharu atas sokongan, simpati dan solidariti yang ditunjukkan oleh Azmin ke atas bencana yang berlaku di Pulau Pinang, dan apa yang berlaku dan diderita oleh rakyat di sini.

“Saya ucapkan terima kasih mewakili Kerajaan Negeri atas sokongan beliau (Azmin), sehingga beliau sendiri hadir ke Pulau Pinang, batalkan program-program lain untuk menunjukkan komitmen beliau,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

 

=EZY=