Categories
SELANGOR

#Selangor18: 3 IPT Selangor terus diperkukuh

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat memberikan geran RM20 juta kepada Universiti Selangor (UNISEL) sebagai usaha berterusan menjadikannya pusat kecemerlangan ilmu, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukkan itu tambahan kepada RM44 juta yang disalurkan, pada 2017.

“Saya yakin UNISEL akan terus memimpin kecemerlangan ilmu.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan RM3.32 juta untuk program Dermasiswa UNISEL bagi membiayai pengajian asasi sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.

Katanya, RM2 juta lagi diperuntukkan untuk Program Smart Tahfiz UNISEL bertujuan melengkapkan pelajar tahfiz dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) turut diberikan pinjaman mudah RM48.5 juta

“Peruntukan itu meliputi RM27.2 juta untuk pembinaan bangunan akademik baru KUIS dan menaik taraf perpustakaan Imam al-Syafie.

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha menyokong UNISEL dan KUIS untuk memperkasa serta menjamin institusi pendidikan ini berdaya saing,” katanya.

Turut menerima manfaat ialah Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) apabila Kerajaan Negeri bersedia membantu pembangunan infrastruktur dan pembangunan modul dengan peruntukan RM4.4 juta.