Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

#Selangor18: Lebih 53% belanja pembangunan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri bercadang sejumlah RM3.12 bilion bagi Belanjawan Selangor 2018 dengan 53.2 peratus diperuntukkan bagi belanja pembangunan.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, belanja pembangunan merangkumi RM1.66 bilion sementara baki RM1.46 bilion diperuntukkan bagi belanja pengurusan meliputi 46.8 peratus.

Katanya, ia adalah tahun keempat berturut-turut Kerajaan Negeri melebihkan belanja pembangunan daripada belanja pengurusan.

“Ini selaras prinsip’ ex ante accountability’ dalam perancangan dan pengurusan belanjawan. Ia bagi memacu ekonomi dan pembangunan yang menjamin kesejahteraan juga kualiti hidup rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2018, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, belanjawan kali ini juga dijangka mengalami defisit RM870 juta berpunca peruntukan pembangunan substantif keperluan pembangunan mampan.

“Pengalaman tiga belanjawan lalu membuktikan Kerajaan Negeri melaksanakan perbelanjaan berhemah, perkukuh budaya kerja cekap, berintegriti, tiada pembaziran serta ketirisan.

“Ia berjaya ubah belanjawan defisit kepada belanjawan berimbang dan mengurangkan belanjawan defisit kepada jumlah munasabah,” katanya.