Categories
SELANGOR

#Selangor18: Penjawat awam terima skim pelindungan insurans

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV : Kerajaan Negeri mencadangkan program perlindungan skim insurans bersifat takaful berkelompok untuk penjawat awam sehingga Gred 44, di bawah pentadbiran Kerajaan Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelaksanaannya bakal memberi manfaat kepada lebih 10,000 pembantu tadbir, pekerja rendah awam, anggota penguatkuasa, pengawal keselamatan dan pemandu.

“Skim ini akan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM3 juta, bagi 2018 dengan skop perlindungan komprehensif terdiri daripada kematian atau hilang upaya kekal ekoran kemalangan.

“Ia turut membabitkan bantuan khairat kematian, rawatan perubatan, elaun wad tunai, kematian ekoran penyakit atau selain dari kemalangan juga hilang upaya kekal menyeluruh akibat penyakit,” katanya.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata, pelaksanaanya turut meliputi bantuan perlindungan manfaat hospital (hospitalization) termasuk rawatan perubatan pesakit luar, di hospital Kerajaan atau swasta.

Terdahulu, Kerajaan Negeri turut mengumumkan bantuan khas kewangan tiga bulan gaji sebagai inisiatif menghargai peranan penjawat awam negeri.

Jumlah berkenaan meningkat berbanding tahun lalu, sebanyak dua bulan gaji.

Untuk rekod, Selangor merupakan satu-satunya Kerajaan Negeri yang menawarkan bantuan kewangan paling tinggi berbanding negeri lain.