Categories
NASIONAL

Tiada halangan pendidikan percuma jika tiada ketirisan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 14 NOV: Pendidikan percuma boleh diberikan di semua peringkat jika amalan ketirisan,
kebocoran dan rasuah di negara ini berupaya diatasi.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pelaburan adalah masa depan terpenting sesebuah negara yang boleh membantu meringankan beban rakyat.

Beliau turut membandingkan usaha Selangor yang memberi pembiayaan pendidikan di semua peringkat pendidikan, di sebalik keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

“Kebanyakan sekolah kerajaan di peringkat rendah mahupun menengah kini bergantung kepada sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bukan sahaja untuk melakukan pelbagai aktiviti pelajar, malah operasi sekolah disebabkan pemotongan belanjawan pendidikan.

“Kecoh sebelum ini sekolah yang sepatutnya menyediakan pendidikan percuma hingga ke tahap meminta kertas A4 daripada pelajar dan guru, meminta sumbangan ibu bapa untuk cetak kertas peperiksaan dan menanggung kos guru gantian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang mendakwa pendidikan negara dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah dikategorikan sebagai percuma.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang ingin melanjutkan pelajaran kini terpaksa berhutang dengan pinjaman faedah tinggi.

Katanya, bilangan institut pengajian tinggi swasta yang semakin bertambah turut menyebabkan majoriti rakyat bergantung kepada IPTS yang kosnya lebih tinggi.

“Jumlah biasiswa semakin berkurangan hingga pelajar miskin dan pertengahan menjadi mangsa.

“Bandingkan dengan zaman Tun Razak kerana walaupun negara tidak kaya, kita memberi tumpuan kepada pendidikan dengan pembukaan sekolah berasrama penuh, asrama yayasan negeri dan MRSM.

“Bagi sektor pendidikan tinggi, IPTA baru dibina, sementara biasiswa dalam dan luar negara digandakan,” katanya.