Categories
KENYATAAN MEDIA

Tubuh jawatankuasa khas banteras penculikan kanak-kanak

Sejak kebelakangan ini, kes kehilangan kanak-kanak di dalam negara kita sangat meresahkan terutama kepada ibu bapa. Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyatakan bahawa seramai 723 kanak-kanak dilaporkan hilang di negara ini sepanjang tempoh enam bulan hingga Jun lalu.

Berdasarkan statistik yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), purata sekurang-kurangnya empat kanak-kanak hilang setiap hari yang mana separuh jumlah itu berumur antara 13 hingga 15 tahun.

1. Dalam hal ini, walaupun ibu bapa turut dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan anak mereka, namun penculikan sering terjadi di tempat awam dimana pihak polis boleh mengambil tindakan dengan perbanyakkan rondaan, intipan dan sebagainya.

2. Namun, setakat hari ini pihak polis tidak menunjukkan sebarang komitmen yang serius untuk membanteras masalah ini yang dipercayai didalangi oleh sindiket.

Perkara ini bukan baru berlaku dan saya melihat ianya seolah-olah seperti menjadi satu fenomena di negara ini.

3. Sekiranya pihak berkuasa di Malaysia lambat mengambil tindakan menangkap atau membanteras penculikan yang semakin berleluasa, tidak mustahil negara ini akan menjadi seperti negara Columbia dan beberapa negara lain yang digelar ‘Ibunegara Penculikan Dunia’.

Jika kejadian seumpama ini berlaku, ianya akan menyebabkan trauma berpanjangan kepada mangsa dan keluarga malah boleh menimbulkan kebimbangan masyarakat.

4. Justeru, saya ingin menggesa kerajaan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah penculikan ini.

Bagi mengekang kejadian penculikan terutama membabitkan kanak-kanak, kerjasama antara pihak kementerian dan PDRM perlu giat dilakukan untuk menjalankan risikan dan mengenal pasti individu atau sindiket yang dipercayai melakukan jenayah culik ini.

Lee Chean Chung
ADUN Semambu
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN