Categories
SELANGOR

Yakin Smart Desa Selangor capai matlamat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 NOV: Smart Desa Selangor dilihat mampu menjayakan pembangunan luar bandar secara lebih dinamik dan maju, selaras pembangunan di bandar.

Ketua Kampung Tali Air 7 Sungai Leman, Misran Salimin, 66, berkata, beliau yakin segala perancangan mampu dilaksanakan dengan baik di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya sangat positif Smart Desa Selangor akan menampakkan manfaatnya dengan adanya pemimpin yang pantas seperti Mohamed Azmin.

“Apalagi, perancangan memberdaya masyarakat luar bandar ini sudah disebut beliau ketika pembentangan Belanjawan Selangor sebelum ini,” katanya kepada SelangorKini.

Turut bersetuju, Ketua Kampung Tali Air 13, Azhari Mohd Nazir, 48, pula berkata, Smart Desa Selangor mampu meningkatkan lagi kuasa ekonomi masyarakat desa.

“Lebih penting, ia juga semestinya memberikan tumpuan seimbang dari segi penyediaan infrastruktur dan kemudahan di antara bandar dan luar bandar.

“Smart Desa Selangor mampu mengurangkan jurang di antara keduanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Besar, Mokhtar Yamin, 62, pula berharap pendidikan turut diberikan tumpuan bagi manfaat jangka panjang bagi masyarakat luar bandar.

“Mungkin Kerajaan Negeri boleh memberikan perhatian kepada penyediaan institusi pendidikan dan seterusnya menaik taraf kawasan luar bandar sebagai tumpuan menuntut ilmu,” katanya.

=EZY=