Categories
AGAMA SELANGOR

LZS sedia RM28.2 juta biaya persiapan sekolah anak asnaf fakir dan miskin

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 28 NOV: Sebanyak RM28.2 juta diperuntukkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membiayai persiapan sekolah sesi 2018 kepada 49,773 anak-anak asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid berkata, agihan bantuan itu diberikan kepada 22,505 keluarga merangkumi 5,540 keluarga fakir dan 16,965 keluarga miskin.

“Daripada nilai bantuan disalurkan itu, RM6.8 juta bagi keluarga fakir manakala RM21.4 juta bagi keluarga miskin.

“Penerima bantuan ini terdiri dari 909 pelajar tadika, 22,667 pelajar sekolah kebangsaan dan 26,197 pelajar sekolah menengah.

“Bantuan diagihkan dalam dua kaedah bayaran iaitu memasukkan wang ke akaun ketua keluarga asnaf fakir miskin atau menggunakan kaedah V-Cash (baucer tunai),” katanya ketika berucap dalam program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan Asnaf Fakir dan Miskin Selangor Sesi 2018.

Dalam program itu, setiap pelajar pra sekolah akan menerima RM100, pelajar sekolah rendah menerima RM150 manakala pelajar sekolah menengah menerima RM250 bagi membiayai yuran persekolahan.

Selain itu, pelajar turut menerima tiga pasang pakaian serta kelengkapan persekolahan bernilai RM230 bagi sekolah rendah dan RM275 bagi sekolah menengah serta bantuan tambahan RM100.

Penerima boleh mendapatkan kelengkapan persekolahan di Pasaraya Sakan, Mydin dan Jakel terpilih di Selangor.

LZS juga melantik Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) untuk menyediakan 35,000 pasang pakaian sekolah bagi menampung keperluan pelajar asnaf di tiga daerah iaitu Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Program bantuan itu diberikan setiap tahun kepada asnaf fakir dan miskin supaya dapat menampung kos pembelian kelengkapan dan yuran sekolah melibatkan anak-anak asnaf di peringkat pra sekolah hingga sekolah menengah.

=EZY=