Categories
KENYATAAN MEDIA

Apa Johor perlu lakukan selesai isu lambakan rumah?

 

1. Kegagalan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hj Mohamed Khaled Nordin berhubung isu perumahan di Johor jelas bahawa Kerajaan BN Johor sedang kekeringan idea untuk menyelesaikan masalah lambakan perumahan dan kemampuan pembeli di Johor. Akhirnya, beliau terpaksa berkata-kata manis untuk mengelirukan rakyat negeri Johor.

2. Merujuk kepada laporan berita pada 7 Julai 2017 yang bertajuk “Johor to engage with housing developers to overcome issue of 80,000 unsold properties” atau Kerajaan Negeri Johor akan berbincang dengan para pemaju untuk menyelesaikan masalah 80,000 unit rumah yang tidak terjual.

3. Ironinya, hampir 4 bulan selepas itu dan selepas mendapat amaran keras oleh Bank Negara Malaysia, Khaled Nordin pada 25 November 2017 sekali lagi telah mengeluarkan kenyataan yang lebih kurang sama, bahawa kerajaan akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah lambakan perumahan yang tidak terjual.

4. Malang sekali hingga kini, beliau masih gagal untuk membentangkan kepada rakyat apa solusi-solusi konkrit kepada masalah lambakan perumahan tidak terjual yang tertinggi di Malaysia iaitu 27% daripada keseluruhan unit kediaman yang tidak terjual berbanding Selangor (21%), KL (21%) dan Pulau Pinang (8%).

5. Belanjawan Negeri Johor 2018 jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak mampu untuk menyelesaikan masalah lambakan perumahan di Johor dan masalah ketidakmampuan rakyat untuk membeli rumah di Johor.

6. Setelah 5 penggal BN memerintah negeri Johor, rakyat negeri Johor terus menderita untuk memiliki rumah yang benar-benar mampu milik demi memperolehi kehidupan yang selesa. Enough is enough’, hentikan politik temberang Barisan Nasional! Selesaikan masalah ini segera!

7. Jiwa besar saya untuk melihat negeri Johor membangun sebagai sebuah negeri yang maju serta memberi kebaikan kepada semua. Justeru, saya ingin mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil oleh kerajaan negeri Johor dalam menyelesaikan masalah perumahan yang sedang melanda.

8. Pertama, negeri Johor seharusnya mengambil peluang untuk menjalankan kerjasama dengan pihak Maybank Islamic Bhd. yang baru-baru ini telah melancarkan produk perkhidmatan kewangan yakni skim rent-to-own (RTO) yang dijalankan bersama 5 pemaju terkemuka seperti SP Setia Bhd, Eco World Development Group Bhd, Mah Sing Group Bhd, Gamuda Land Sdn Bhd dan Sime Darby Property Bhd.

9. Skim HouzKEY yang bakal bermula awal tahun 2018 tidak mengenakan bayaran pendahuluan (down payment) dan menawarkan harga pembelian yang tetap. Skim ini menfokuskan kepada pembeli rumah pertama bagi rumah mampu milik untuk pembeli dari mereka berpendapatan pertengahan (B40) iaitu minimum RM5,000 sebulan. Skim ini selari dengan kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu 83% daripada unit perumahan yang tidak terjual adalah dalam kategori harga melebihi RM250,000 seunit.

10. Skim sewa beli ini adalah penting bagi mengurangkan lambakan rumah yang tidak terjual di Johor, kerana kekuatan modal dan perkhidmatan kewangan yang pelbagai dan meluas kepada pelbagai segmen isi rumah di Johor.

11. Kedua, hadkan pembinaan rumah mahal dan tingkatkan penawaran perumahan mampu milik (harga RM150,000 kebawah) dengan kerjasama semua pihak berkepentingan yakni semua pemain-pemain pasaran hartanah seperti pelbagai pihak pemaju, persatuan bank-bank, persatuan pembeli, kerajaan tempatan dan lain-lain pihak berkepentingan. Pemberian insentif yang bersesuaian boleh difikirkan oleh kerajaan Negeri bagi pihak pemaju perumahan yang membina rumah mampu milik melebihi daripada kuota yang telah ditetapkan dalam Dasar Perumahan Rakyat Johor.

12. Hal ini bukan perkara baharu, ramai negara maju telah laksanakan. “Multiple ways of communication” adalah kunci untuk memastikan sesebuah polisi itu adil kepada semua pihak atau solusi win-win agar agenda perumahan mampu milik di negeri Johor dapat digalakkan dengan lebih giat.

13. Justeru, saya menyeru kepada Menteri Besar Johor, Dato’ Khaled Nordin untuk berhenti bermain politik atas isu perumahan Johor dan terus datangkan solusi-solusi tuntas. Sebagai langkah awal, saya cadangkan ini terlebih dahulu bagi menggalakkan pembelian rumah di kalangan rakyat Johor.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Naib Presiden Pakatan Harapan/
Timbalan Presiden
Parti AMANAH Negara
7 Disember 2017