Categories
EKONOMI SELANGOR

SIBS 2018: Landasan kukuh hubung dagangan ASEAN

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Selangor International Business Summit 2018 (SIBS), yang bakal memasuki edisi kedua penganjurannya pada September tahun hadapan, berpotensi menjadi landasan kukuh menghubungkan jaringan perdagangan ASEAN.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim berkata, ia bukan hanya bertindak sebagai landasan perdagangan ASEAN, malah menjadi penghubung kepada penggiat industri itu di seluruh dunia.

“Persidangan ini akan menjadi penghubung kepada pelbagai jenis industri perdagangan, sekali gus membawa perdagangan domestik dan antarabangsa ke ASEAN yang diadakan di satu tempat.

“SIBS adalah gerbang memudahkan perdagangan dan pertumbuhan serantau, maka penting bagi negara ASEAN bekerjasama menyokong dan bersaing di arena global dalam landskap ekonomi, pada masa kini.

“Selangor yang memiliki lokasi geografi strategik, infrastruktur logistik dan kestabilan ekonomi baik, selaras dengan visinya sebagai hab perdagangan global, bersedia ke peringkat seterusnya untuk menjadi perantara penting bagi perdagangan domestik juga antarabangsa dalam mengukuhkan kewujudannya di ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran Selangor International Business Summit 2018 di Hotel Shangri-La, pada 5 Disember lalu.

Chang Khim berkata, ia antara usaha Kerajaan Negeri memastikan industri perdagangan bergerak ke hadapan bagi memacu pertumbuhan ekonomi lebih baik.

“Kita juga akan menggandakan usaha menarik lebih ramai penggiat industri turut serta dalam persidangan ini,” katanya.

Persidangan itu akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur pada 6 hingga 16 September 2108.

Ia merangkumi tiga program utama iaitu Selangor International Expo, Selangor-ASEAN Business Conference 2018 dan Selangor Digital Economy Convention (sebelum ini dikenali sebagai Smart City International Convention).