Categories
NASIONAL RENCANA

Bersediakah belia ulangi tsunami politik Malaysia?

OLEH AFIX REDZUAN

Begitu cepat masa berlalu. Tanpa disedari 2017 bakal melabuhkan tirainya kurang 30 hari dari sekarang sebelum kehadiran 2018.

Apabila 2018 menjengah, pastinya Malaysia bakal menempuh satu pertempuran kuasa domestik bagi menentukan nakhoda pentadbiran negara untuk penggal akan datang. Pastinya semua armada perang kini dalam keadaan bersiap siaga menantikan semboyan ditiup.

Jika disingkap kembali, Malaysia menempuh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei 2013 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kekal menerajui Putrajaya, di samping merampas semula Kedah sementara PAKATAN mengekalkan kuasa di tiga negeri iaitu Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang hasil kemenangan PRU-12.

Tsunami politik yang berlaku hasil gelombang PRU-12 pada 2008 menyaksikan PAKATAN berjaya menambah tujuh kerusi Parlimen kepada 89 kerusi, manakala kemerosotan melanda BN dengan 133 kerusi dan hanya membolehkan mereka membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Tanpa disedari, golongan belia selaku pengundi muda yang ketika itu dianggarkan seramai 4.5 juta atau 38.8 peratus daripada lebih 12 juta pengundi di negara ini memainkan peranan penting walaupun tidak menjadi faktor utama kepada keputusan PRU-13.

Berdasarkan kajian dilakukan Felo Penyelidik Junior Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Hariszuan Jaharudin, seramai 5.56 juta atau 41.98 peratus daripada keseluruhan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada 2013 terdiri daripada pengundi muda iaitu 21 hingga 39 tahun.

Hasil kajiannya menerusi tajuk ‘PRU-13: Perubahan Budaya Politik Malaysia Dan Krisis Legitimasi Moral Barisan Nasional’ menunjukkan kebanyakan orang muda lebih terbuka memilih parti politik yang mewakili kepentingan umum bukannya kepentingan sesuatu kaum dan agama iaitu sebanyak 71 peratus berbanding hanya 14 peratus memilih parti politik berteraskan agama, manakala berteraskan kaum tertentu pula 11 peratus.

Golongan muda mahu perubahan dasarĀ 

Dalam perkembangan sama, kaji selidik yang dijalankan Merdeka Centre antara 2012 dan 2013 mendapati golongan muda secara konsisten bersikap kritikal terhadap prestasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana secara umumnya mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun mahukan perubahan dasar negara juga pendekatan politik yang lebih rasional.

Persoalannya kini, mampukah pengundi muda khususnya golongan belia mengulangi peranan mereka sekali lagi pada PRU-14 dalam meneruskan fenomena ‘tsunami politik’ sebagai tanda isyarat hala tuju negara yang didakwa kian berkecamuk dengan pelbagai skandal hingga menarik perhatian dunia serta ditekan dengan kejatuhan nilai ringgit?

Pengerusi SPR, Tan Sri Hashim Abdullah dalam kenyataannya mendedahkan, sehingga suku kedua tahun ini, sebanyak 14.6 juta rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi, manakala 3.7 juta lagi yang kebanyakannya golongan belia berusia 21 hingga 39 tahun masih belum berbuat demikian.

Populasi kecil golongan belia yang berdaftar sebagai pengundi, sekali gus menunjukkan kurangnya kesedaran generasi muda berkenaan tanggungjawab mendaftar dan mengundi.

Kebanyakan mereka memberi alasan tidak tahu mendaftar di mana, tidak mahu terbabit dalam politik dan beranggapan satu undi tidak membawa apa-apa makna sebenarnya menunjukkan iklim kesedaran politik dalam kalangan belia masih gagal diselesaikan.

Bersediakah kita untuk menelan kenyataan faktor berkenaan mengakibatkan belia memandang enteng tanggungjawab yang perlu dilunaskan selaku rakyat Malaysia setiap lima tahun sekali?

Belia lebih selesa mengkritikĀ 

Jika diamati di peringkat lapangan, faktor keengganan belia mendaftar sebagai pengundi itu benar. Mereka lebih selesa mengkritik dan melepaskan rasa tidak puas hati berdasarkan situasi semasa khususnya perkembangan ekonomi yang membabitkan kenaikan harga minyak dan barang di laman sosial atau warung kopi.

Ini termasuk peluang pekerjaan terhad dan tawaran gaji rendah hingga menjadikan suasana sunyi sepi seketika tanpa ada yang berminat untuk menyambung bicara apabila disarankan untuk mendaftar sebagai pengundi.

Di sebalik iklim politik negara yang dilihat suram mutakhir ini dengan kewujudan perpecahan parti politik dan budaya serangan menjengkelkan terhadap pihak lawan menambahkan lagi rasa meluat golongan belia untuk menjadi sebahagian watak melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

Walaupun semua parti politik disifatkan berjaya untuk mendaftar pengundi baru menjelang detik PRU-14 tetapi apakah jaminan mereka akan membuang undi pada tarikh keramat yang bakal diumumkan kelak?

Jika ingin mendabik dada atas kejayaan berjaya mendaftarkan banyak pengundi baru bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Tarikan belia untuk mengundi lebih kepada tawaran manifesto yang dijanjikan dan mampu dilaksanakan parti bertanding sekiranya diberikan kuasa memerintah.

Belia hari ini pastinya bersedia memberikan sokongan kepada calon bertanding atas faktor demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia. Tetapi mampukah tawaran manifesto itu berjaya mengunci tekad mereka mengundi calon atau parti politik sedia ada?

Peluang pekerjaan, penurunan kos sara hidup dan keupayaan memiliki rumah sendiri pastinya antara perkara yang akan diteliti belia sebelum mempertaruhkan undi mereka untuk melantik pemimpin sebagai suara di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

Kepada golongan belia, janganlah terlalu mudah ‘merajuk’ dan berpaling wajah akibat bosan dengan keadaan semasa sedangkan kuasa perubahan ada di tangan anda.

Jangan disia-siakan peluang itu atau menjadi suara cengkerik yang memecahkan sunyi malam selepas keputusan akhir PRU-14 dimuktamadkan seperti perumpamaan ‘rumah dah siap, pahat masih berbunyi’.