Categories
SELANGOR

Ekonomi semakin mencabar, rakyat mahukan pendapatan lebih tinggi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 DIS: Jangkaan suasana ekonomi semakin mencabar dan kos sara hidup tinggi, kebanyakan pengunjung hadir ke Selangor Job Fair 2017 bertujuan mahukan pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi walaupun mereka sudahpun mempunyai pekerjaan.

Rajaswarie Kanan, 30, berkata, tujuan beliau ke program itu adalah untuk mendapatkan peluang kerjaya dengan pendapatan lebih lumayan.

“Saya sudahpun bekerja namun tujuan kedatangan untuk mencuba nasib meluaskan kerjaya memandangkan keadaan ekonomi semasa kini semakin mencabar dan kos sara hidup tinggi.

“Bagi saya penting untuk seseorang itu berusaha mencari peluang kerjaya dengan gaji yang lebih lumayan memandangkan kita tidak tahu ekonomi pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di Karnival Selangor Jobs Fair 2017 di Dataran Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Nursyahirah Sariffuddin, 25, berkata, beliau datang ke karnival itu untuk mencari peluang pekerjaan memandangkan baru sahaja menamatkan pengajian.

“Ini adalah kali pertama saya ingin mencari kerja selepas menamatkan pengajian dalam bidang logistik.

“Saya harap karnival sebegini sedikit sebanyak dapat membantu lepasan graduan dan pengganggur mendapatkan peluang kerjaya yang lebih cerah,” katanya yang baru menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Bagi Mohd Nazri Mohd Nasir, 26, beliau datang ke karnival itu bertujuan mencari peluang pekerjaan yang lebih baik serta dapat memperbaiki cara komunikasi dalam sesi temuramah.

sdr

“Pada saya adalah amat bagus karnival seperti ini dilaksanakan kerana terdapatnya sesi temuramah secara terus disamping dapat memperbaiki mutu komunikasi seseorang itu,” katanya yang kini sudah dua bulan menganggur.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melaksanakan Karnival Job Fair 2017 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam membabitkan 26 syarikat swasta dan agensi kerajaan beroperasi di Selangor dengan menawarkan pelbagai kekosongan jawatan dalam pelbagai bidang profesional dan kemahiran.

Antara syarikat utama seperti Aeon Berhad, Panasonic, Mydin Mohamed Holdings serta syarikat GLC milik Kerajaan Negeri untuk jawatan tetap dan kontrak.

=EZY=