Categories
SELANGOR

Hampir 2,000 sertai pemeriksaan kesihatan percuma

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 DIS: Hampir 2,000 peserta menyertai Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma anjuran Biro Pemuda (Sadiqh), Masjid lndia Muslim Tengku Kelana (MIMTK) 2017, pada 25 November lalu.

Pengarah program, Nizam Shah Allabasc berkata, program kali ketujuh itu merangkumi pelbagai jenis pemeriksaan kesihatan bertujuan meringankan beban orang ramai, khususnya golongan kurang berkemampuan bagi mendapatkan rawatan secara percuma.

“Pemeriksaan kesihatan penting untuk pengesanan awal sebarang penyakit berbahaya termasuk sakit jantung, kencing manis dan barah.

“Pembaharuan yang kami laksanakan pada program kali ini adalah pendaftaran mammogram, cara memberus gigi dengan sempurna dan peraduan mewarna untuk kanak-kanak bawah 12 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Nizam Shah berkata, program pendaftaran mammogram secara percuma itu dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) atas sumbangan dana RM10,000 untuk program itu.

Terdahulu, Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma itu diadakan di Dewan Serbaguna Masjid India Muslim Tengku Kelana, Klang membabitkan 16 jenis pemeriksaan kesihatan, lima jenis pameran kesedaran, lima jenis konsultasi dan dua ceramah berkenaan kesihatan.

Program turut membabitkan 200 sukarelawan terdiri daripada ahli biro Sadiqh dan organisasi bukan kerajaan (NGO).