Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Mahkamah tidak iktiraf SPR sebagai telus

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 DIS: Keputusan Mahkamah Tinggi semalam nyata tidak mengesahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai institusi telus, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, hakim mendapati SPR tidak menepati kriteria piawaian ketelusan antarabangsa.

Katanya, hakim juga memutuskan SPR gagal mengenepikan tuduhan wujudnya pembahagian tidak adil dan manipulasi persempadanan pilihan raya.

“Sekiranya Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah hadir ke mahkamah semalam, beliau pasti menyedari keputusan mahkamah itu.

“Saya mendengar sendiri hakim memperincikan keputusannya yang terikat dengan mahkamah lebih tinggi, iaitu Mahkamah Rayuan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hakim memberi galakan kepada pasukan peguam Selangor untuk meneruskan usaha rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Katanya, walaupun penghakiman semalam tidak memihak kepada Selangor, ia juga tidak mengesahkan kaedah dan cara kerja SPR.

“Pengerusi SPR harus peka masih wujud ruang luas untuk perubahan dan pembaikan sebelum kita mempunyai SPR yang benar-benar bebas bagi melindungi hak rakyat mengundi secara bebas dan adil.

“Bagi menjayakan cita-cita besar ini, Kerajaan Negeri komited meneruskan kes ini di mahkamah,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Kerajaan Negeri menggantung pelaksanaan (stay order) semua siasatan tempatan sehingga rayuan selesai walaupun menolak permohonan semakan persempadanan semula.