Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Istana Kehakiman ‘terbakar’ namun rayuan persempadanan semula tetap diteruskan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 18 DIS: Orang ramai dan wakil media yang mengikuti perbicaraan rayuan berhubung permohonan Kerajaan Negeri membatalkan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Istana Kehakiman pagi ini cemas apabila berlaku ‘kebakaran’ bangunan terbabit.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi itu bermula apabila penggera kebakaran berbunyi dan diikuti arahan mengosongkan bangunan dikeluarkan oleh beberapa anggota keselamatan.

Ketika kakitangan mahkamah dan orang ramai termasuk beberapa Wakil Rakyat Selangor berpusu-pusu keluar menyelamatkan diri, prosiding rayuan kes terbabit tetap diteruskan.

Bagaimanapun, perasaan cemas itu hilang apabila dimaklumkan ianya hanyalah satu latihan kebakaran.

Ketika berkumpul di kawasan berhimpun di luar bangunan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Putrajaya memberitahu SelangorKini latihan ini turut membabitkan tiga jentera dengan kekuatan sekurang-kurangnya lapan anggota dari balai bomba terbabit.

Kakitangan mahkamah dan orang ramai hanya dibenarkan masuk semula ke dalam bangunan kira-kira jam 11.15 pagi.

=EZY=