Categories
NASIONAL

Jumlah mangsa banjir Kelantan menurun

SHAH ALAM, 4 DIS: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus berkurangan kepada 8,193 orang yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 9 pagi tadi.

Kesemua mangsa dari 3,255 keluarga membabitkan empat daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tumpat.

Menurut portal eBanjir Kelantan, Pasir Mas yang mencatat mangsa banjir paling tinggi menunjukkan penurunan kepada 4,804 mangsa membabitkan 2,040 keluarga di 19 PPS, berbanding 5,625 orang malam tadi.

Bilangan mangsa di Tumpat pula tidak berubah, iaitu 3,328 dari 1,200 keluarga di lapan PPS, sejak malam tadi.

Manakala di Kota Bharu dan Pasir Puteh, masing-masing tinggal satu PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong, Pendek dan SK Wakaf Raja, Bukit Awang masing-masing 61 orang, sejak semalam.

Jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan dijangka terus berkurangan dari semasa ke semasa memandangkan cuaca semakin baik.

Sementara itu, keadaan Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu terus menunjukkan aliran penurunan, namun masih di paras bahaya iaitu 9.94 meter dan 3.34 meter.

Bagaimanapun, Sungai Galas Limau Kasturi kembali mencecah paras berjaga-jag,a pada sukatan 56.54 meter ekoran hujan sejak malam tadi, manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai pula masih pada paras sama.