Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Konsep mesra OKU bakal hiasi Masjid Seksyen 24

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 DIS: Kariah Seksyen 24 Shah Alam bakal memperoleh masjid baru dengan konsep mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) bernilai RM15.7 juta yang dijangka siap, pada Mei 2020.

Dibina di atas tanah seluas 3.6 ekar, masjid berkonsepkan seni bina islamik meminimalis itu diilhamkan dari Maghribi dan dijangka mampu menampung 2,000 jemaah dalam satu masa.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir Ruslan Abdul Aziz dalam taklimatnya pada Majlis Pecah Tanah Seksyen 24 berkata, ruang solat masjid itu mampu memuatkan 700 jemaah, manakala ruang limpah dengan konsep terbuka mampu menampung 1,500 jemaah.

“Antara kemudahan disediakan adalah ruang pejabat, bilik mesyuarat, bilik pengurusan jenazah dan menara azan serta dilengkapi 120 lot parkir kereta, 121 lot motosikal juga tiga lot lagi untuk OKU,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan pengimarahan masjid sangat penting terutama dalam membentuk jati diri.

Katanya, masjid merupakan paksi penting untuk membina hubungan dengan Allah dan sesama manusia.

“Saya bersyukur dan menjunjung kasih atas limpah perkenan DYMM Sultan Selangor memperkenankan saya melaksanakan majlis pecah tanah Masjid Seksyen 24.

“Ini adalah masjid keempat selepas Masjid Setia Alam, Kota Kemuning dan Putra Height.

“Islam perlu dizahirkan dalan masyarakat. Peranan masjid sangat penting bagi memaknai maksud hubungan dengan Allah dan manusia,” katanya.

Setakat ini, 13 masjid sedang dalam pembinaan, manakala 10 buah masjid lagi akan mula dibina, pada penghujung 2018.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, bermula tahun hadapan, umat Islam digalakkan supaya mewakafkan sebahagian harta menerusi Perbadanan Wakaf Selangor.