Categories
KENYATAAN MEDIA

Adakah siasatan ke atas Annuar Musa hanya sandiwara politik?

Saya mengambil maklum mengenai keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah memutuskan untuk tidak mendakwa bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa berhubung isu rasuah penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Saya tidak terkejut dengan keputusan ini malah sudah menjangkakannya kerana kita dapat lihat sendiri ini bukan kali pertama pemimpin Umno BN dilepaskan dari sebarang tindakan undang-undang.

Apa yang menimbulkan persoalan, adakah tindakan siasatan sebelum ini hanya sandiwara politik yang cuba ditonjolkan untuk menutup mulut rakyat?

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, keterangan yang diambil serta bukti yang dikumpul setakat ini tidak mencukupi untuk mendakwanya. Bagi saya alasan tersebut seolah-olah hanya untuk melepaskan Annuar Musa.

Kerajaan perlu berhenti berlakon dan memperdayakan rakyat di mana rakyat kini semakin matang dalam menilai sesuatu perkara. Rakyat mahu melihat kes-kes yang disiasat ini dibuka untuk proses penghakiman bukan sekadar tahan reman dan bebas.

Sekiranya ada kes yang melibatkan pimpinan pembangkang sudah pasti akan ada kes terpilih yang dibuat dan didakwa segera kononnya untuk memperlihatkan bahawa SPRM ini adalah adil dalam melaksanakan tugas mereka.

Sampai bila isu rasuah seperti ini akan berlanjutan dan membarah di negara ini? Apa yang boleh saya katakan, selagi ‘kepala rasuah’ atau MO1 tidak didakwa , selagi itu anak-anak buahnya akan ikut jejak dan turut akan terlepas daripada sebarang dakwaan.

Jesteru, saya menggesa pihak SPRM tegas dalam isu rasuah ini dan menjalankan tanggungjawabnya dengan bebas tanpa ada sebarang tekanan politik dan sebagainya. Dengan cara ini, baru rakyat ada keyakinan yang cukup tinggi terhadap SPRM.

Dato’ Johari Abdul
Ahli Parlimen Sungai Petani
Parti KEADILAN Rakyat