Categories
NASIONAL

Lebih 20 juta pengguna manfaat MRT sejak Disember 2016

KUALA LUMPUR: Lebih 20 juta pengguna direkod menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang sejak mula beroperasi, pada 16 Disember 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, hasil maklum balas orang awam, termasuk di media sosial menunjukkan kebanyakan berpuas hati terhadap perkhidmatan pengangkutan awam itu dalam melancarkan pergerakan mereka.

“Apa yang penting ialah melihat peningkatan trend positif dalam penggunaannya juga bukti pelaburan kerajaan dalam pengangkutan awam memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya, lapor BERNAMA.

Terdahulu, Azmi dan Pengerusi Prasarana, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengiringi Dui Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan meninjau jaringan pengangkutan awam berasaskan rel termasuk MRT, Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel.

Turut berkenan berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Jajaran pertama yang dilaksanakan untuk projek MRT Lembah Klang adalah MRT Sungai Buloh-Kajang dengan jarak 51km.

Fasa pertama MRT Sungai Buloh-Kajang merangkumi laluan Sungai Buloh-Semantan yang mula beroperasi, pada 16 Disember 2016, manakala fasa kedua membabitkan laluan Semantan-Kajang beroperasi sejak 17 Julai 2016.