Categories
NASIONAL

Lebih 900 mangsa banjir terjejas di Perak

OLEH SHEEDA FATHIL

PERAK, 1 DIS: Jumlah mangsa terjejas akibat banjir di Perak meningkat kepada 946 mangsa (233 keluarga) setakat jam 10 malam tadi berbanding 709 membabitkan 158 keluarga pada 6 petang semalam.

Kolonel Pertahanan Awam Perak, Mohd. Noor Hassan Ashari Sulaiman berkata, dua daerah iaitu Manjung dan Muallim terjejas teruk membabitkan tujuh pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan mangsa banjir.

Beliau berkata di Manjung 844 mangsa ditempatkan di empat pusat pemindahan iaitu 420 orang di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu, Pantai Remis, diikuti Sekolah Agama Rakyat Kampung Tebuk Yan yang menempatkan 201 orang.

“Manakala seramai 131 orang ditempatkan di SK Dato’ Ishak dan 92 orang di Dewan BNBBC Batu 4 Segari,” katanya.

Dilaporkan, jumlah mangsa di daerah Muallim kekal 102 orang iaitu 18 orang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Slim, Kampung Sungai Muda.

Walau bagaimanapun, memetik laporan Bernama, banjir di Manjung dikatakan penduduk sebagai antara terburuk pernah berlaku dalam tempoh lima tahun.