Categories
SELANGOR

Masyarakat Orang Asal di Pulau Indah bakal terima manfaat

OLEH SABIRAH AZIZ

PULAU INDAH, 13 DIS: Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) akan merencanakan beberapa lagi manfaat kepada masyarakat Orang Asal di Pulau Indah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mahmud Abbas berkata, antara perancangan tersebut adalah mewujudkan rangkaian internet berkelajuan tinggi (High Speed Network) kepada masyarakat Orang Asal supaya celik internet sekali gus menambah kemahiran baharu kepada mereka.

“Kami akan bekerjasama dengan Smart Selangor bagi melaksanakan perkara ini di mana ia adalah sebahagian daripada program khidmat sosial korporat (CSR) yang dijalankan.

“Di samping itu, kami juga merancang untuk membuat pusat tuisyen kepada anak-anak orang asal di kawasan berkenaan bagi meningkatkan tahap ilmu pengetahuan kepada mereka.

“Bagaimanapun, semuanya masih lagi dalam perancangan yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan,” katanya kepada Selangor Kini, baru-baru ini.

Terdahulu, CSSB telah menaik taraf kawasan di perkampungan itu yang terlibat dengan projek berimpak tinggi, Selangor Bio Bay (SBB) tanpa memindahkan penghuninya.

Ianya termasuk membina rumah dan tapak perniagaan bagi meneruskan aktiviti harian masyarakat orang asal.

Pelaksanaan itu selaras hasrat Kerajaan Negeri untuk mengekalkan budaya dan tradisi Orang Asal supaya tidak lupus ditelan arus pembangunan.

=EZY=