Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Umno, hentikanlah ‘blame game’

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 DIS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyelar sikap pimpinan Umno-BN yang berterusan menyalahkan pembangkang dalam isu kenaikan kos sara hidup.

Beliau berkata, percaturan ekonomi tidak tepat pimpinan Putrajaya antara sebab utama menyebabkan rakyat terpaksa menanggung akibatnya.

Katanya, sikap menyalahkan Kerajaan Negeri merupakan cubaan jelas bagi mengaburi kelemahan sikap dan tindakan mereka sendiri.

“Putrajaya yang salah dasar ekonomi, Selangor pula kena tuduh. Pimpinan Putrajaya perlu hentikan ‘blame game’.

“Kerajaan Negeri buat kerja ikut buku dan fakta atas prinsip #PeduliRakyat.

“Terang lagi bersuluh, Putrajaya cuba tutup kelemahan pimpinan atasan dengan alih fokus massa daripada isu rakyat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.

Semalam, Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Dato’ Menteri Besar, Yin Shao Loong menolak dakwaan kononnya polisi Selangor menyebabkan kos sara hidup di negeri itu meningkat dan membebankan rakyat.

Pada 26 Disember lalu, bekas pegawai Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Isham Jalil berkata, kenaikan kos itu ekoran pengenaan cukai dan kos berkaitan hartanah, perumahan serta premis perniagaan dikenakan Kerajaan Negeri.

Katanya, di bawah pemerintahan BN, kadar bagi cukai berkaitan hartanah dan premis perniagaan, di Selangor dan Pulau Pinang tidak setinggi dikenakan sekarang.

Beliau dilapor berkata demikian pada program Ruang Bicara bertajuk ‘Trend Pemikiran Pengundi Cina’, terbitan Bernama News Channel.