Categories
SUKANKINI

Nelo Viganda tinggalkan Harimau Malaya

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 DIS: Nelo Vingada mengumumkan peletakan jawatan selaku Ketua Jurulatih Harimau Malaya hari ini selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Beliau dalam satu kenyataan yang dimuatnaik menerusi laman facebook FAM berkata, tindakan itu diambil atas rasa tanggungjawab berhubung prestasi pasukan kebangsaan.

“Atas rasa tanggungjawab dengan apa yang berlaku itu, saya dengan ini mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan berkuatkuasa serta-merta dan Tunku Presiden sendiri menerima keputusan yang dibuat ini.

“Akhir kata pada kesempatan ini, saya berharap dan berdoa supaya bola sepak Malaysia kembali bersinar selepas ini dan saya berbangga kerana dapat menjadi sebahagian warga bola sepak Malaysia walaupun dalam tempoh masa agak singkat ini,” katanya.

Turut meletakkan jawatan adalah dua pembantu beliau Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa selaku penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan skuad kebangsaan.

Viganda atau nama sebenarnya Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada, 64, mula dilantik menduduki ‘kerusi panas’ ketua jurulatih pasukan kebangsaaan, pada 15 Mei lalu.

Hadir dengan reputasi membimbing beberapa negara kuasa besar bola sepak Asia antaranya Arab Saudi, Jordan dan Iran, beliau juga pernah membimbing beberapa kelab terkemuka Asia seperti Seoul FC (Korea Selatan), Persepolis FC (Iran) dan Dalian Shide FC (China).

Beliau gagal merekodkan sebarang kemenangan bersama skuad kebangsaan serta tewas dua kali bertemu Korea Utara dalam aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, pada 10 dan 13 November lalu.

=EZY=