Categories
NASIONAL

Pelajar etnik Rohingya terus disantuni

OLEH NORHAYATI UMOR

SERI KEMBANGAN, 26 DIS: Tersentuh dengan nasib menimpa etnik Rohingya, Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim mengambil inisiatif mendekati golongan itu dengan memberi sumbangan set kelengkapan persekolahan kepada kira-kira 50 pelajar Knowledge Garden Learning Centre School (KGLCS), di sini.

Presidennya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, program ‘Back To School’ itu merupakan satu program amal untuk membantu persediaan pelajar etnik berkenaan yang tidak berkemampuan.

Katanya, sumbangan keperluan persekolahan yang terdiri daripada pakaian, alat tulis dan beg serta kasut sekolah bernilai RM10,000 itu diharap dapat menyuntik semangat pelajar etnik berkenaan.

“Sumbangan ini adalah kutipan amal orang awam yang dilaksanakan pertubuhan.

“Ini bukan kali pertama kita laksanakan sumbangan pendidikan kepada etnik ini, sebelum ini kita laksanakan di Klang,” katanya ketika ditemui di KGLCS, di sini.

Pada masa sama, Raja Ahmad berkata, pihaknya akan terus menyalurkan bantuan sesuai khususnya pendidikan kepada etnik ditindas akibat pertelingkahan melanda kawasan mereka.

Katanya, pertubuhan itu juga turut menghulurkan bantuan kewangan kepada anak yatim Rohingya sebanyak RM250 sebulan sejak Jun lalu.

“Bagi meneruskan bantuan kewangan pada tahun depan, kita akan cuba mencari dana atau sumbangan untuk disalurkan secara berterusan kepada anak-anak ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden ‘Ethnic Rohingya Comittee of Arakan (ERCA) Malaysia, Mohd Rafique Khairul Bashar berkata, pihaknya mengalukan sumbangan persatuan mahupun orang ramai bagi membantu golongan itu.

Katanya, sumbangan pendidikan amat diharapkan bagi memastikan anak-anak Rohingya dapat meneruskan pelajaran dari masa ke semasa.

“KGLCS menggunakan silibus persekolahan Malaysia yang bermula jam 8 pagi hingga 3 petang.

“Selain pendidikan asas Bahasa Melayu, English, Sains dan Matematik, pelajar juga diajar aliran tahfiz seperti Bahasa Arab dan Al-Quran,” katanya.

=EZY=