Categories
PBT SELANGOR

Penutupan jalan sempena ‘Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan 2017’

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menutup sebahagian jalan mulai jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi bagi melancarkan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan 2017 pada Ahad ini (esok).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, jalan yang terlibat adalah Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai.

“Sehubungan itu, pihak Majlis menyeru orang ramai tidak menggunakan jalan yang dinyatakan pada tempoh tersebut bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Kami memohon pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi yang hendak ditujui,” katanya.

Pada masa sama, pengguna dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan yang diberikan pihak MBSA dari masa ke semasa.

Program itu diadakan pada minggu kedua setiap bulan yang akan bermula di Dataran Kemerdekaan bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kota Shah Alam.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA di talian 03-5522 2734.

=EZY=