Categories
SELANGOR SUKANKINI

Perkukuh pembangunan akar umbi lahir pemain profesional

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 DIS: Penyediaan fasiliti dan pembangunan di peringkat akar umbi yang baik mampu melahirkan lebih ramai pemain bola sepak professional yang berbakat dan bernilai tinggi.

Kesimpulan itu dicapai menerusi dialog Perangsang Selangor Speakers Corner yang dianjur Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) sempena Selangor Champions League (SCL).

Dialog lebih dua jam itu menampilkan lagenda bola sepak Malaysia dan Selangor, Datuk Santokh Singh dan Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic yang juga bekas jurulatih Selangor.

Mehmet berkata, pelan pembangunan fasiliti perlu dilaksanakan secara serius dan bukan bersifat retorik semata-mata.

“Semangat melakukannya ada, duit ada, sokongan ada tetapi ia masih tidak mampu dilaksanakan di Malaysia buat masa ini.

“Jika ada komitmen dan pelaksanaan serius, ranking Malaysia akan naik semula namun tentunya semua ini makan masa,” katanya.

Dikendalikan Kieran, dialog turut menampilkan dua panel lain iaitu Pengarah Urusan Little League Soccer Sdn Bhd, Shazwan Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Safirul Azli.

Bagi Shazwan, kejurulatihan yang baik di peringkat akar umbi penting bagi melahirkan pelapis bola sepak tanah air.

“Kepentingan aspek ini bagaimanapun masih kurang lagi di Malaysia.

“Selain fasiliti baik, jurulatih juga perlu lebih kreatif, rajin dan bersikap telus dengan ibu bapa.

“Kritik boleh tetapi perlu beri solusi dan jadilah ‘role model’ yang baik buat anak didik,” katanya.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan mencemar dulu mendengar sesi dialog di Stadium Shah Alam itu.

Ia ditaja KPS di bawah program Sukan Untuk Semua – Rangsangan Sukan Selangor.

=EZY=