Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Polis Selangor guna nyanyian sampaikan mesej berguna

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 29 DIS: Polis Selangor melakukan kejutan apabila menyampaikan mesej berguna kepada pasukannya menggunakan pendekatan lebih mesra dan luar biasa iaitu menyampaikan nyanyian berunsur nasihat.

Lagu berjudul “Aku Memang Polis” itu diubah suai liriknya oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat yang turut sama menyanyikannya dalam video muzik khas di laman Youtube.

Video berdurasi tiga minit 36 saat itu turut menampilkan beberapa pegawai kanan kontinjen negeri termasuk Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab; Ketua Jabatan Pengurusan Polis Selangor, Sulaiman Salleh dan beberapa ketua jabatan lain.

Fadzil berkata, lirik berkenaan dihasilkan dalam bentuk nasihat bertujuan menyampaikan mesej positif kepada pegawai dan anggota.

“Saya ada sebut buat kerja jangan suka mengungkit macam pegawai samseng. Itu antara elemen yang masyarakat awam tanya polis kenapa suka cakap kasar-kasar.

“Dalam lagu itu juga ada sebut jangan suka berbohong nanti kena lambung dan kita cakap kerja demi keluarga,” katanya lapor Malaysiakini.

Beliau turut menggunakan bahasa yang mudah difahami di dalam lirik berkenana supaya anggota polis mengingati pesanan itu.

“Lirik itu tak rasmi tapi santai untuk hiburan sekurang-kurangnya boleh ingat di minda. Penyampaian secara halus. Kalau dia polis, dia boleh faham istilah kena lambung, balik kampung tanam jagung. Jadi keseluruhan lagu menasihati polis itu sendiri,” katanya.

Antara nasihat kepada anggota keselamatan itu adalah ketika kerja jangan suka berbohong dan jangan buat perangai samseng.

Mereka dilihat menyampaikan lagu berkenaan dengan penuh perasaan di dalam klip video yang disiarkan Friends Of PDRM.

Fadzil berkata, tujuan lagu itu dinyanyikan untuk mengikis tanggapan masyarakat bahawa polis harus sentiasa kelihatan garang.

“Kita nak tunjuk garang pada tempatnya, marah pada tempatnya. Namun, ada masa perlu mesra, humor, serius dan mesra dengan masyarakat,” katanya.

Setakat ini video berkenaan mencapai hampir 60,000 tontonan di media sosial dan mula menjadi viral.