Categories
SELANGOR

PUSAKA hargai usaha Selangor martabat seni budaya

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 DIS: Pusat kebudayaan terkemuka serantau, PUSAKA memuji inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Nusantara 2017.

Pengasasnya, Eddin Khoo berkata, sikap Kerajaan Negeri itu nyata berbeza dengan sikap kebanyakan pentadbiran yang biasanya memandang kecil potensi seni budaya.

Katanya, kebanyakannya juga kurang sedar seni budaya merupakan asas penting mencipta masyarakat beradab.

“Usaha ini semestinya memberi pendedahan lebih meluas kepada masyarakat tetapi apabila kita memulakan sesuatu, haruslah ada kesinambungan dan tidak seharusnya dibiar tergantung.

“Diharap dengan kerjasama baik antara PUSAKA dan Kerajaan Negeri ketika ini, kita dapat menganjurkan lagi festival ini pada masa hadapan, sekurang-kurangnya sekali bagi setiap dua tahun,” katanya.

Eddin yang juga Kurator Utama festival itu berkata, ia juga menampilkan kelainan dengan menyuntik segmen lebih luas bagi menerokai seni budaya nusantara.

“Budaya menulis dan sastera itu semakin berkembang dengan penyertaan aktif anak muda, namun kurang titik pertemuan.

“Persidangan seni budaya juga biasanya agak formal dengan pembentangan kertas kerja akademik tetapi kita dalaminya dengan kepelbagaian seperti bagaimana bahasa digunakan di dalam filem, percakapan harian dan penulisan novel eksperimental,” katanya.

Festival itu antara lain menampilkan tetamu kehormat seperti Goenawan Mohamad, Muhammad Haji Salleh dan Ramli Sarip.