Categories
PBT SELANGOR

Hari Tanpa Kenderaan MBSA terap tema seni tradisional

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 DIS: Orang ramai dijemput hadir menyertai Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan bertemakan Citra Seni Pagi, pada 10 Disember ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, program hujung minggu itu bakal diserikan dengan pelbagai pertunjukan seni tradisional.

Katanya, ia termasuk Tarian Songket, Tarian Rakyat, Tarian Wau Bulan, Tarian Buluh, Zapin Johor, Kompang Formasi, Yoyo Cina, Gamelan dan Kraf (Orang Asal Jo’oh).

“Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan untuk memeriahkan program ini antaranya pelepasan peserta bagi aktiviti riadah, acara berbasikal, berjalan kaki, persembahan kombo MBSA, buskers, PSYCUSIX, aktiviti senamrobik, pameran kesihatan dan kempen denggi,” katanya.

Program yang diadakan pada setiap minggu kedua setiap bulan itu dijadual bermula seawal jam 7 pagi, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Shahrin berkata, MBSA turut menyediakan permainan kanak-kanak chu-chu train secara percuma, kereta berlampu, skuter elektrik, belon sabun, minuman 100 plus secara percuma, lorong seni dan wall climbing (HIKERS).

Katanya, turut diadakan, pertunjukan jalan (street show), Fruit Eating Challenge, pertandingan chest, pertandingan gusti lengan, promosi Herba Life, promosi Kidzania dan potong rambut secara percuma.

“Warga Shah Alam juga berpeluang membeli baja kompos, jualan makanan di Food Truck, melihat pameran Inisiatif Rendah Karbon, ‘photo booth’, booth Orang Kelainan Upaya (OKU), petting zoo, dan aktiviti ‘doodles’ atau ‘painting’.

“Kaunter Bergerak Shah Alam On Wheels turut beroperasi bagi memudahkan orang awam membuat semakan dan pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan, jualan kupon parkir dan sebagainya,” katanya.