Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM1.3 juta bangun insfrastruktur di Rawang

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 22 DIS : Sejumlah RM900,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi pembangunan kompleks pelbagai guna padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Batu 17, di Taman Jati, di sini.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, ia bertujuan menjadikan padang berkenaan sebagai zon riadah bagi kemudahan penduduk sekitar.

“Pelbagai aduan diterima daripada penduduk setempat (berhubung padang ini), justeru cadangan pembangunan ini mula dibincang dan dilaksanakan.

“Cadangan pembangunan kompleks pelbagai guna ini selaras hasrat Kerajaan Negeri mewujudkan amalan kelestarian hijau di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media cadangan pembangunan kompleks pelbagai guna di padang PKNS, Batu 17 dan cadangan menaik taraf infrastruktur taman rekreasi awam (Fasa 1) di Tasik Taman Bersatu, di sini, hari ini.

Pei Nei berkata, padang PKNS berkeluasan 3.22 ekar itu akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan seperti pagar keselamatan, padang bola sepak, ‘mini granstand’ berserta tandas, alatan senaman, gelanggang serb aguna, kerusi taman, tong sampah, lampu limpah dan lampu solar.

“Projek pembangunan ini bakal bermula pada Januari dan dijangka siap pada September 2018,” katanya.

Pada masa sama, taman rekreasi awam di kawasan itu akan dinaik taraf dengan peruntukan hampir RM400,000 daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Arkitek Landskap MPS, Syamsul Arif Mahmud berkata, projek itu mula dilaksanakan pada Januari 2018 dan dijangka siap, pada Jun tahun sama.

“Tasik ini merupakan kawasan riadah utama komuniti sekitar setiap hari, jadi kami mencadangkan untuk menaik taraf infrstruktur demi kemudahan mereka,” katanya.

Antara cadangan menaik taraf adalah memperbaiki lantai dataran terbuka, laluan pejalan kaki, alatan permainan, kawasan padang, membina aerator, menaik taraf mini ‘skate park’, gelanggang bola keranjang dan gelanggang serbaguna.

Selain itu, Pei Nei turut menyeru penduduk setempat untuk menjaga kemudahan awam disediakan dan mengelakkan berlakunya vandalisme.